SERING dapat watak pembantu punca nama Hafidz tak ke depan.
SERING dapat watak pembantu punca nama Hafidz tak ke depan.
Georgie Joseph


MENJADI hero pujaan ramai sejak namanya mekar dibibir peminat drama sejak beberapa tahun lalu, penampilan Hafidz Roshdi seakan kurang diberi perhatian sejak kebelakangan ini dek kerana kurangnya memimpin watak utama.

Hafidz, 28, mengakui memang dia tidak terlalu ke hadapan daripada segi watak lantaran lebih banyak menjayakan peranan sebagai pembantu dan disebabkan itu dia merasakan faktor berkenaan membuatkan namanya sedikit malap.

Bagaimanapun, akuinya dia tidak pernah menyepi atau berehat dalam radar lakonan. Sebaliknya, jadual seninya sentiasa rancak dan banyak drama perlu dia lunaskan ketika ini.

"Kalau ikutkan, tahun lalu saja ada dua drama di slot Akasia TV3 menampilkan saya. Bagaimanapun, saya memang dapat watak pembantu saja dan itulah barangkali sebab nama saya tak ke depan.

"Tapi sebenarnya saya ada saja cuma mungkin orang tak nampak sangat. Insya-Allah, selepas ini akan ada beberapa drama yang mana saya akan ke depan semula," katanya.

Berdasarkan bakat dan reputasinya, Hafidz jelas disenangi serta pastinya ramai penerbit berebut menyambarnya. Apalagi, namanya pun memang cukup dikenali dalam kalangan peminat.

Meskipun tawarannya tidak putus, dia tidak menjadikannya sebagai alasan untuk memilih tawaran tertentu saja. Baginya, dia sentiasa terbuka dengan apa juga naskhah yang sesuai.

"Kalau ada kelapangan dan watak ditawarkan itu memang saya boleh bawa, saya sedia menyahutnya. Saya sebenarnya tidak memilih sangat pun.

"Selagi saya boleh berikan komitmen terhadapnya, saya akan cuba buat sehabis baik," katanya dalam satu temubual mempromosikan drama terbarunya berjudul Harith Fayyadh siaran slot Akasia TV3.

Bercerita mengenai drama itu, Hafidz mendedahkan ada cabaran tersendiri dilaluinya sewaktu penggambaran. Digandingkan dengan pelakon hebat Nad Zainal membuatnya tidak keruan.

Menurutnya, dia memang cukup menghormati Nad sebagai seorang pelakon yang berkaliber. Justeru, dia sedikit berdebar apabila berlakon dengannya.

"Tak tahulah nak cakap macamana, tapi saya memang rasa 'nervous' berlakon dengan Nad. Padahal sebelum ini pernah juga berlakon telefilem dengannya tapi berbeza apabila buat drama.

"Banyak babak saya perlu lakukan dengannya dan memandangkan dia pelakon hebat, digandingkan bersamanya buat saya gementar. Tapi kalau bab dialog dan lontaran, semuanya okay saja," katanya.

Selain Nad, Hafidz juga pertama kali bergandingan dengan pelakon Adam Lee dalam drama terbabit. Melakonkan watak adik-beradik, katanya tidak sukar pun cari keserasian.

"Walaupun pertama kali, Adam senang nak masuk kepala di set. Jadi, tak timbul pun kesukaran untuk mencipta keserasian sepanjang penggambaran.

"Lagipun umur kami pun lebih kurang sebaya cumanya saya sudah berkahwin. Banyak juga kami berkongsi mengenai cerita kehidupan dan hubungan kami memang sudah ibarat rakan karib," katanya.

Menjayakan watak Harith, Hafidz menyifatkan ia pengalaman baharu juga untuknya melakonkan watak warak. Bukan tidak pernah, tapi di slot Akasia, ini pertama kali.

"Kalau di Akasia, saya selalu dapat watak seperti mat rempit, psiko, perampas, dan seumpama. Belum pernah lagi saya lakonkan watak warak dan ini antara perkara baharu.

"Sebenarnya sebelum ini sudah pernah pun lakonkan watak sebegitu di saluran lain. Teruja juga nak tengok reaksi penonton untuk pembawaan saya kali ini," katanya.

Dalam pada itu, Hafidz juga bakal sibuk dengan beberapa penggambaran drama untuk siaran Akasia juga. Menurutnya, dia bakal tonjol kemampuan serta sisi lebih berbezanya.

"Ada dua drama saya akan digandingkan dengan Redza Rosli dan keduanya untuk siaran Akasia. Bagaimanapun, watak yang saya bakal bawa setiap satu memang sangat berbeza.

"Untuk drama pertama, karakter saya adalah seorang lelaki psiko tahap teruk. Manakala, yang satu lagi akan menjadi adik-beradik kepada watak Redza," kata Hafidz yang turut bergandingan bersama pelakon hebat antaranya Fauziah Nawi, Adam Lee, Dynas Mokhtar, Hasnul Rahmat, Cahaya Nilam, Shamsul Ghau Ghau, Julia Farhana menerusi drama Harith Fayyadh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 6:00 AM