BERSEDIA melangkah jauh dalam lakonan.
BERSEDIA melangkah jauh dalam lakonan.
Sudirman Mohd Tahir

PELAKON baharu, Rita Nadira, 23, mengesahkan dia sudah putus cinta dengan pelakon, Ezzrin Loy yang juga adik kepada Elfira Loy sejak tahun lalu.

Rita yang turut dikenali sebagai peragawati mulai menjinakkan diri dalam dunia lakonan dan mahu memberikan fokus terhadap kerjayanya.

"Saya kini solo. Sejak tahun lalu, kami berdua ambil keputusan untuk memberikan fokus dengan kerja masing-masing," katanya.

Biarpun membawa haluan masing-masing, Rita berkata, dia dan Ezzrin masih berkawan baik dan tidak mempunyai masalah dengan bekas kekasihnya itu.

Ditambah pula pengurus kepada Rita adalah ibu Ezzrin.

"Saya dan Ezzrin masih menjalinkan hubungan baik. Kami okay, masih berkawan dan tak gaduh pun. Apatah lagi ibunya adalah pengurus saya.

"Sekarang, dia fokus pada kerja dan begitu juga saya. Kami memutuskan untuk memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap karier," katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Rita bertuah apabila diberi peluang memegang watak utama dalam drama bersiri 26 episod berjudul Juliet.

MASIH menjalinkan hubungan baik.
MASIH menjalinkan hubungan baik.

Menerusi drama terbitan Zeel Production itu, Rita memegang watak utama yang bernama Julia dan Juliet.

"Ini drama kedua saya selepas Jujurlah Nikahi Aku. Tapi, ini drama pertama saya memegang watak utama. Apabila dapat tawaran ini saya macam tak percaya juga. Pengurus pun mendorong saya untuk buat bagi menimba pengalaman. Jadi, saya terima.

"Cuma dia menasihati saya untuk baca skrip dan buat betul-betul. Dapat tahu pula pengarah adalah Datuk Ahmad Tarmimi Siregar yang mana dia sangat berdisiplin dan tegas. Dalam kerja dia sangat pentingkan masa dan komitmen.

"Jadi, apa yang saya buat adalah sentiasa bersedia. Paling penting kena menjaga masa, hafal dialog dan ingat apa dibuat," katanya.

Rita juga berkongsi, dia pertama kali berlakon dengan hero drama itu, Redza Rosli dan pelakon lain.

Malah, Rita menyifatkan Redza pelakon yang tidak kedekut ilmu kerana banyak membantu dirinya dari segi lakonan sepanjang penggambaran.

"Redza banyak bantu saya. Dia akan ajak saya buat latihan terlebih dahulu dan bagi idea. Jadi, di situ kami membina keserasian. Sama juga dengan pelakon lain.

PERTAMA kali berlakon dengan Redza dalam drama.
PERTAMA kali berlakon dengan Redza dalam drama.

"Memandangkan saya baharu, jadi kena tanya semua pelakon apatah lagi yang ada babak bersama. Orang bertanya, malu bertanya sesat jalan," katanya.

Dalam masa sama, Rita berkata, dia bersedia untuk melangkah jauh dalam bidang lakonan dan berdepan segala onak duri sebagai anak seni.

"Sebenarnya kalau kita sendiri sudah ceburi bidang ini, kita kena berani. Kalau tak, kenapa masuk bidang ini? Menjadi saya mudah iaitu ikut saja aturan ditetapkan. Saya tidak atur hidup dengan menetapkan nak menjadi itu dan ini.

"Bagi saya buat silap itu biasa. Tapi, orang nasihatkan saya supaya berhati-hati supaya tidak buat silap. Paling penting jaga diri, personaliti dan sikap. Dengan cara itu orang boleh hormat kita," katanya.

Drama itu turut membariskan pelakon hebat lain seperti Redza Rosli, Rozita Che Wan, Haliza Misbun, Azza Elite, Sofia Ibrahim, Louisa Chong, Scha Elinnea serta ramai lagi dan bakal ditayangkan sekitar September depan di RTM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 6:15 AM