Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Keterujaan penuntut Malaysia meraikan tahun baharu bersama empat rakannya di Niigata, Jepun, hari ini bertukar detik mencemaskan selepas dikejutkan dengan gempa bumi kuat di bandar itu.

Muhammad Mukmin Muhamad Faris, 24, yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Biologi Pertanian di Universiti Utsunomiya berkata, gegaran luar biasa dirasainya pada 4.10 petang waktu tempatan (3.10 petang waktu Malaysia) ketika dia berada di sebuah restoran dekat kawasan rehat dan rawat (R&R) di Niigata.

Katanya, pada awalnya mereka menyangka ia gempa bumi biasa kerana sudah banyak kali berdepan pengalaman itu sepanjang menuntut di negara matahari terbit terbabit.

"Biasanya (gegaran) sekejap saja iaitu kurang seminit tetapi tadi (hari ini) lama, lebih seminit... jadi kami agak panik.

"Ingatkan selepas keluar amaran gempa, keadaan reda, tetapi kemudian ada pula amaran tsunami di situ.

"Alhamdulillah kami semua selamat, cuma merasai gegaran yang kuat kerana Niigata terletak berdekatan Ishikawa iaitu pusat gempa yang khabarnya sudah banyak rumah di sana roboh dan terbakar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhammad Mukmin, buat masa ini, dia dan empat rakannya berada di sebuah hotel di Nigata dan akan bermalam di situ sementara, menunggu menunggu arahan selanjutnya daripada pihak berkuasa.

"Kami berlima menaiki kereta dari rumah di Utsunomiya Tochigi untuk jalan-jalan sambil tengok salji. Ikut perancangan asal, memang nak bermalam di bandar ini.

"Lagipun, kini sedang cuti yang berbaki seminggu lagi, cuma apabila jadi begini, tak tahu sampai bila akan ada di sini kerana jalan berhampiran pun ditutup bagi tujuan keselamatan.

"Hotel kami menginap ini juga menjadi pusat pemindahan penduduk terjejas. Jadi buat masa ini semua dalam keadaan baik," katanya.

MUHAMMAD Mukmin (kanan) berkongsi gambar kenangan bersama empat rakannya sebelum gempa bumi melanda Jepun hari ini.
MUHAMMAD Mukmin (kanan) berkongsi gambar kenangan bersama empat rakannya sebelum gempa bumi melanda Jepun hari ini.

Menurutnya, ahli keluarganya di Malaysia ada menghubunginya dan bertanya khabar selepas terbaca berita mengenai gempa bumi di Jepun.

Dia juga memberitahu niatnya memuat naik video di TikTok dan Instagram mengenai fenomena itu, sebagai berkongsi pengalamannya dan rakan.

"Ramai doakan kami dan terima kasih saya ucapkan kerana prihatin. Tak sangka berdepan pengalaman ini pada hari pertama tahun baharu," katanya yang memberitahu tiada gegaran dirasai, semalam sebaliknya hanya hujan.

Terdahulu, siri gempa bumi kuat melanda wilayah Ishikawa, tengah Jepun dengan yang terbesar berukuran sehingga 7.6 magnitud.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) turut mengeluarkan amaran tsunami untuk daerah Noto dan menggesa orang ramai segera berpindah berikutan amaran sama untuk wilayah Niigata, Toyama dan Ishikawa di sebelah Laut Jepun di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 9:47 PM