Bernama-Xinhua

Tokyo: Satu siri gempa bumi kuat, dengan yang terbesar berukuran sehingga 7.6 magnitud, melanda wilayah Ishikawa di tengah Jepun pada Isnin, kata Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

Amaran tsunami telah dikeluarkan oleh JMA untuk daerah Noto, menggesa orang ramai segera berpindah berikutan amaran tsunami untuk wilayah Niigata, Toyama dan Ishikawa di sebelah Laut Jepun di negara itu.

Gempa itu mencatatkan intensiti 7 pada skala seismik Jepun dengan gegaran dirasai di beberapa wilayah di negara Asia itu, lapor Xinhua.

Menurut agensi cuaca, gempa bumi kuat terbaharu berlaku pada pukul 4.10 petang waktu tempatan (3.10 petang waktu Malaysia) pada kedalaman yang cetek.

Sementara itu, Wilayah Ishikawa mencatatkan gelombang tsunami kecil lebih daripada 1.2 meter pada 4.21 petang waktu tempatan. Menurut laporan, wilayah Toyama di pantai barat Jepun turut melaporkan gelombang tsunami setinggi 50 sentimeter pada 4.23 petang waktu tempatan. Menurut penyiar NHK gelombang air boleh mencapai ketinggian lima meter dan pihak berkuasa menggesa orang ramai melarikan diri ke kawasan tanah tinggi atau puncak bangunan berhampiran secepat mungkin.

Kyodo News melaporkan East Japan Railway Co. dalam pada itu menggantung operasi semua laluan Tohoku, Joetsu, dan Hokuriku Shinkansen susulan gempa bumi.

Hokuriku Electric Power Company berkata lebih 36,000 rumah mengalami gangguan bekalan elektrik.

Menurut syarikat itu kerajaan Jepun telah menubuhkan pejabat respons kecemasan di pejabat perdana menteri di Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 5:31 PM