SITI Hajar (gambar kecil) maut selepas motosikal dibonceng berlanggar dengan kereta Perodua Kancil di persimpangan lampu isyarat Kolej Komuniti Kodiang, malam tadi. FOTO ihsan polis.
SITI Hajar (gambar kecil) maut selepas motosikal dibonceng berlanggar dengan kereta Perodua Kancil di persimpangan lampu isyarat Kolej Komuniti Kodiang, malam tadi. FOTO ihsan polis.
Zuliaty Zulkiffli


WANITA maut manakala anaknya cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan dengan kereta Perodua Kancil di persimpangan lampu isyarat Kolej Komuniti Kodiang, Kodiang, Jitra, malam tadi.

Mangsa, Siti Hajar Kariya, 49, meninggal dunia selepas hampir empat jam mendapat rawatan di Hospital Jitra (HJ) akibat parah di kepala dan badan.

Dalam kejadian 9.10 malam itu, mangsa yang berasal dari Kampung Paloh, Jalan Utan Kandis, Arau, Perlis dikatakan membonceng motosikal ditunggang anaknya, Siti Nur Afiqah Najwa, 19.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Kancil dipandu pesara kerajaan berusia 60 tahun dari arah Kodiang menghala ke Jitra.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta itu meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat hijau untuk masuk ke simpang Kolej Komuniti.

“Namun secara tiba-tiba motosikal ditunggang dua beranak itu dari arah belakang itu melanggar ke tepi kiri pintu belakang kereta terbabit.

“Selepas kejadian, penunggang dan pembonceng motosikal terjatuh di tepi jalan dan pada masa itu wanita itu tidak sedar diri di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Chien berkata, mangsa dihantar ke HJ dengan ambulans manakala pemandu kereta itu membuat laporan di balai polis untuk memaklumkan kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan dari pihak hospital 12.25 tengah malam memaklumkan mangsa meninggal dunia.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Sehubungan itu orang ramai yang menyaksikan kejadian kemalangan itu boleh menghubungi 04-9172222 cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 7:42 PM