KEADAAN padang baharu Stadium Nasional Kompleks Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KEADAAN padang baharu Stadium Nasional Kompleks Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menerima baik keputusan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memilih Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai lokasi bagi perlawanan pertama kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, Malaysia menentang Kyrgyzstan pada 16 November nanti.

Menurut PSM dalam satu kenyataan, selepas mengambil kira pandangan kontraktor rumput dan FAM melalui lawatan tapak bersama, keadaan padang adalah lebih baik daripada dua perlawanan sebelum ini.

"Ia sesuai untuk digunakan (playable), maklumbalas ini juga dipersembahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"PSM menjunjung kasih ke bawah Tunku Ismail atas perkenan yang diberikan untuk perlawanan pada 16 November diteruskan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"PSM akan kekal komited untuk memastikan padang SNBJ berada dalam keadaan terbaik untuk pasukan Harimau Malaya dan terus bekerjasama dengan pihak kontraktor padang bagi mengambil langkah-langkah yang sewajarnya," kata PSM.

Sebelum itu, FAM dalam satu kenyataan awal secara rasmi mengesahkan bahawa perlawanan pertama Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, akan kekal dilangsungkan di SNBJ pada jam 9 malam.

Semalam pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, beliau lebih berminat untuk menyaksikan pasukan kendaliannya beraksi di gelanggang keramat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 4:53 PM