Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sebak, hiba dan risau, langkah seakan tidak kena sebaik mendapat maklumat kehilangan seorang anak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, sejak 12.30 tengah hari Selasa lalu yang mula tersebar di Facebook juga media sosial lain.

Penulis yang bertugas syif petang, menjalankan tugasan seperti biasa namun hati tetap tidak keruan memikirkan nasib Zayn Rayyan.

Apa yang terjadi kepadanya, di manakah dia, adakah dia terjatuh, bagaimana dia boleh terlepas dari ibunya atau adakah dia terlupa jalan pulang ke rumah, semua persoalan itu berlegar di minda wartawan yang pada masa sama mempunyai seorang anak autisme perempuan seusia Zayn Rayyan.

Tentunya wartawan sangat memahami kerisauan kedua ibu bapa Zayn Rayyan dan tanpa melengahkan masa cuba menghubungi nombor telefon ibu Zayn Rayyan yang tersebar di Facebook untuk mengetahui sendiri keadaan sebenar kejadian serta mendapatkan maklumat namun gagal kerana panggilan tidak berangkat.

Atas rasa tanggungjawab dan kegusaran dirasai, wartawan kemudiannya menyiapkan satu laporan berita berkenaan kehilangan Zayn Rayyan berdasarkan maklumat tersebar di Facebook bagi membantu menyebarkan kes itu selain berharap ada individu terjumpa atau mempunyai maklumat melaporkan ke balai polis terdekat.

Sejak detik itu, hakikatnya wartawan sendiri tidak senang duduk, setiap detik terbayang nasib Zayn Rayyan terutama apabila bersama anak autisme sendiri, Hasya Nur Dhuha Hafidzul Hilmi, benar, anak autisme ini berbeza dengan kanak-kanak lain, dunia mereka berlainan, mereka sungguh istimewa.

Keesokan harinya (Rabu), wartawan yang masih bertugas syif malam tekad ke rumah Zayn Rayyan untuk bertemu sendiri kedua ibu bapanya selain cuba menemuramah individu di kawasan itu bagi mendapatkan maklumat tepat dalam menyalurkan berita.

Pucuk dicita ulam mendatang, pada masa sama, wartawan menerima jemputan dari Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid yang memaklumkan akan mengadakan Op Tutup rumah ke rumah bermula jam 9 malam dan mengajak pengamal media untuk turut serta dalam op itu.

Setibanya di Apartment Idaman kelihatan ratusan penduduk sudah berkumpul untuk bersama-sama menyertai operasi mencari Zayn Rayyan.

Tepat jam 9 malam, Mohd Fakhrudin memberi penerangan sebelum mewujudkan 18 kumpulan bagi tujuan memeriksa 2,484 unit kediaman di apartmen terbabit sebelum operasi mula dijalankan bermula jam 9.40 malam.

Kira-kira 20 minit operasi dilakukan, keadaan mula gempar sebaik Mohd Fakhrudin menerima satu panggilan memaklumkan penemuan Zayn Rayyan di kawasan anak sungai tidak jauh dari kediaman itu.

Wartawan yang turut cemas, terus sama berlari bersama pengamal media lain untuk ke tempat lokasi penemuan Zayn Rayyan.

Sepanjang berlari ke lokasi, tidak henti di dalam hati wartawan berdoa supaya anak syurga itu ditemui dalam keadaan selamat, selain mempunyai 1,001 keistimewaan, kebanyakan anak autisme ini kuat fizikalnya.

Wartawan yang 'sekasut' dengan keluarga Zayn Rayyan cuba berfikiran positif mengatakan anak syurga ini kuat pastinya dia boleh bertahan namun perasaan hiba menyelubungi wartawan tatkala melihat sendiri sekujur jasad terbaring dalam keadaan mengiring di kawasan anak sungai.

Ketika itu terdengar juga beberapa penduduk cuba menenangkan bapa mangsa yang semestinya sukar menerima berita menyedihkan itu. Anak kesayangan yang ditatang bagai minyak yang penuh terbaring dalam keadaan tidak bernyawa.

Wartawan juga tidak dapat menahan sebak melihat situasi itu, harapan melihat Zayn Rayyan masih bernyawa musnah sama sekali.

Wartawan yang sebenarnya kaku menahan sedih kemudiannya menemuramah seorang dari saksi kejadian yang menemui jenazah Zayn Rayyan sebelum kembali berlari pulang ke kawasan blok apartmen bagi melihat keadaan kedua ibu bapa Zayn Rayyan yang tidak dapat menerima berita sedih itu.

Tepat jam 12 tengah malam, jasad Zayn Rayyan diusung keluar dari lokasi sebelum dibawa terus ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Lebih menggemparkan, hasil laporan bedah siasat petang Khamis mendapati Zayn Rayyan mati akibat dibunuh dan kes mula disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hasil bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

Kini, polis sedang berusaha mengumpul bukti bagi menjejak suspek.

Wartawan dan seluruh warga kerja Harian Metro mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Zayn Rayyan dan semoga pelaku kejam dapat diheret ke muka pengadilan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 8:01 AM
Ismanira Abdul Manaf, 28 kelihatan sedih selepas mendapat berita terkini keputusan bedah siasat jenazah anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, (kiri) yang dibunuh di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ismanira Abdul Manaf, 28 kelihatan sedih selepas mendapat berita terkini keputusan bedah siasat jenazah anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, (kiri) yang dibunuh di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM