Gambar kiri: MOHD Zawawi menunjukkan nasi kukus ayam berempah yang dijual pada harga RM3.90 sahaja. Gambar kanan: NOR Samad menunjukkan nasi lemak serta ayam goreng yang djual di gerainya yang terletakdi Selayang.
Gambar kiri: MOHD Zawawi menunjukkan nasi kukus ayam berempah yang dijual pada harga RM3.90 sahaja. Gambar kanan: NOR Samad menunjukkan nasi lemak serta ayam goreng yang djual di gerainya yang terletakdi Selayang.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kenaikan kos barangan ternyata membebani hampir semua peniaga kecil apatah lagi mereka yang menjual makanan.

Ketika banyak pihak yang mengeluh dan merungut mengenai kenaikan harga jualan, sebenarnya masih ada peniaga makanan yang prihatin serta berusaha untuk tidak menaikkan harga terlampau tinggi.

Siapa sangka di tengah-tengah bandar besar di Lembah Klang, ada peniaga yang mampu mengekalkan harga makanan di bawah harga Rahmah RM5.

Nasi kukus RM3.90 je!

Kuala Lumpur: Ucapan terima kasih daripada pelanggan, menguatkan semangat penjual nasi kukus ayam berempah ini untuk terus menawarkan sebungkus makanannya pada harga RM3.90.

Mohd Zawawi Zakaria, 39, berkata dia mula berniaga pada 2008 dengan idea menjual nasi kukus ayam berempah asli Kelantan pada harga RM3.50 di tepi jalan.

"Resipi asli ini daripada arwah mak saya yang berasal dari Kelantan dan memang saya gunakan ia sebagai sumber pendapatan.

"Pada 2008, semua harga masih murah lagi, jadi margin keuntungan yang diperoleh lebih besar, sekarang kos barang naik dan baru Oktober ini saya terpaksa naikkan harga menjadi RM3.90 selepas 15 tahun bertahan dengan RM3.50. Berniaga memang mencabar, lagi-lagi zaman sekarang semua harga barang naik, namun apa yang menguatkan semangat saya setiap kali pelanggan mengucapkan terima kasih. Pernah pelanggan yang mempunyai tanggungan ramai menitiskan air mata sambil ucapkan terima kasih sebab saya masih jual makanan harga murah, ibarat saya menolong dia," katanya yang mempunyai lima gerai jualan di sekitar Kuala Lumpur.

Mohd Zawawi berkata, bukan mudah baginya untuk mengekalkan harga jualan sebegitu, tetapi dia bernasib baik kerana mempunyai pelanggan setia, malah rasa dan kualiti sentiasa dijaga walaupun nasi kukus ayam berempah berkenaan dijual pada harga murah.

Bagi memastikan jualannya dapat pulangan modal, membayar upah pekerja dan komitmen lain, setiap hari dia harus menjual sekurang-kurangnya 150 bungkus nasi.

"Saya kejar dari segi jumlah, tapi ada juga ketika hujan jualan tak habis dan selalunya saya akan sedekahkan ke masjid. Saya tidak akan panaskan ayam dan jual balik sebab memang menjaga kualiti dan rasa.

"Setiap hari selepas solat subuh saya sudah mula memasak dan gerai dibuka dari jam 11 pagi hingga 3 petang, kami buka setiap hari kecuali Ahad dan cuti umum," katanya ketika ditemui.

Mohd Zawawi berkata, dengan RM3.90 pelanggan mendapat nasi kukus, ayam berempah (ayam standard potong 10 bahagian), hirisan timun, kuah dan sambal.

Kualiti ayam terjamin walaupun dijual RM1.50

Selayang: Mengamalkan konsep berniaga sambil beramal, pemilik kedai Ayam Goreng Macho, Nor Samad Samsudi, 54, percaya itu antara faktor yang mampu membuat perniagaannya bertahan sehingga ke hari ini.

Berniaga menjual ayam goreng jenis drummet dan kepak menggunakan tepung resipi sendiri dan nasi lemak RM1 sejak 1997, Nor Samad berkata pelanggannya terdiri daripada beberapa generasi.

"Jika dulu, ayam goreng dijual hanya 60 sen dan pada 2006 baru dinaikkan menjadi RM1 sehingga 2021 dan sekarang RM1.50 manakala nasi lemak masih kekal RM1 dari dulu.

"Kami mempunyai ramai pelanggan setia termasuk mereka yang dulu masih bersekolah rendah dan sekarang sudah berkeluarga memiliki anak masih datang ke gerai untuk membeli ayam goreng Macho dan nasi lemak.

"Rata-rata pelanggan bersyukur kami tidak menaikkan harga dan walaupun makanan kami dijual dengan murah, namun dari segi kualiti dan rasa memang kami jaga serta kekalkan sejak 26 tahun lalu.

"Alhamdulillah, untung walaupun sikit tapi masih ada sebab kita bergantung dengan kuantiti. Bagi saya biar murah janji pelanggan ramai dan pastikan masakan itu sedap," katanya.

Nor Samad turut mengakui sepanjang menjalankan perniagaan, tahun ini mencabar baginya kerana bukan saja berdepan dengan kos kenaikan barangan yang mendadak, malah paling dikesali kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah seperti beras.

Katanya, beras tempatan memang tidak naik harga tetapi selalu tiada di pasaran, menyebabkan peniaga guna beras import.

"Kami faham kenaikan harga sukar untuk dibendung, tetapi sebagai peniaga kami berharap kerajaan dapat memastikan bekalan bahan mentah ada supaya kami boleh terus menjual makanan pada harga murah," katanya.

Nor Samad berkata, gerainya dibuka setiap hari kecuali Ahad bermula 8.30 pagi hingga 7 malam.

PEMILIK gerai Burger LA, Muhammad Talib bersama dengan pekerja.
PEMILIK gerai Burger LA, Muhammad Talib bersama dengan pekerja.

Burger RM2.50 tetap untung

Ramai yang tidak percaya apabila sebiji burger boleh dijual pada harga RM2 dan mampu menjana keuntungan kepada peniaga.

Bagi pemilik gerai Burger LA, Muhammad Talib Kassim, 27, perkara itu tidak mustahil kerana gerai yang beroperasi di tepi Jalan Gombak itu menjadi peniaga pertama di Kuala Lumpur memperkenalkan burger RM2 pada 10 tahun lalu.

Namun, disebabkan peningkatan harga bahan mentah, tahun ini pihaknya terpaksa menaikkan harga burger biasa kepada RM2.50.

"Walaupun naik harga, untung masih juga sama semasa dijual pada harga RM2 kerana kenaikan kos sekarang memang tinggi.

"Tapi pelanggan faham dan harga RM2.50 itu masih murah, malah ada yang bertanya adakah kami dapat survive jual harga sebegitu sebab sekarang harga burger biasa lebih kurang RM4.50 sebiji.

"Kami mempunyai pelanggan tetap dan paling penting kami menjaga kualiti bahan yang digunakan termasuk keenakan burger itu sendiri.

"Berniaga murah memang tak dapat margin yang besar, tetapi kita kejar jumlah dan setiap hari kami kena capai jualan 240 biji untuk lepas bayar gaji pekerja dan sedikit untung," katanya ketika ditemui.

Muhammad Talib berkata, selain pelanggan tetap pihaknya juga selalu menerima tempahan untuk katering atau sedekah.

Kami guna patty saiz 50 sebab tidak terlalu mahal sesuai bagi jualan harga RM2.50 dan jika pelanggan hendak burger special pula hanya RM3.50, manakala paling mahal di gerai kami RM6.50 untuk burger double special cheese.

"Sejak Burger LA beroperasi, kami tidak pernah war-warkan menggunakan platform media sosial, sebaliknya promosi dibuat oleh pelanggan yang berkongsi kelebihan burger kami kepada rakan dan keluarga mereka," katanya.

Gesa kerajaan beri sokongan peniaga makanan murah

Kerajaan perlu memberi sokongan terhadap peniaga yang berusaha menjual makanan pada harga murah terutama untuk memastikan lebih ramai yang menerima manfaat daripada jualan terbabit.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia (GPPPM), Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihaknya bangga jika ada peniaga yang sanggup menghadapi cabaran kos kenaikan harga barangan pada masa ini dengan mengekalkan harga jualan lebih rendah.

Katanya, usaha peniaga berkenaan bukan saja harus diberi pujian, malah diberi sokongan dan bantuan daripada kerajaan melalui pemberian subsidi.

"Apabila ada peniaga yang masih mampu bertahan menjual makanan pada harga bawah RM5, mereka ini perlu diberi sokongan sepenuhnya kerana peniaga ini mempunyai pelanggan tetap dan sudah beroperasi bertahun-tahun lamanya.

"Saya bangga dengan peniaga seperti ini dan memang sukar untuk jumpa ibarat seorang dalam seribu peniaga.

"Saya juga sudah meminta supaya pihak kerajaan tidak memberi subsidi berupa wang tunai, tetapi menerusi sistem yang membolehkan golongan peniaga ini membeli barang asas keperluan berniaga pada harga bersubsidi," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kerajaan juga boleh melantik mana-mana pasar raya untuk bekerjasama dalam pelaksanaan sistem bersubsidi untuk komuniti peniaga di mana mereka ini boleh membeli keperluan di pasar raya terpilih.

"Jadi, kerajaan boleh salurkan subsidi terbabit kepada pasar raya yang sudah diiktiraf dengan syarat peniaga yang mempunyai kad identiti khas kad in2niaga yang membolehkan mereka menikmati barang bersubsidi berkenaan terutama bahan mentah.

"Pemberian kad in2niaga pula layak diberikan kepada masyarakat peniaga yang mempunyai lesen di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) atau sijil berniaga Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Oleh itu, bantuan kerajaan boleh sampai kepada golongan peniaga yang disasarkan dan betul-betul memerlukan. Justeru, sangat penting komuniti peniaga ini mendapat sokongan daripada kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 12:00 PM