Peniaga kecil, Fiera Mazda, 30, kemungkinan akan menaikkan harga jualan jika harga barangan mentah naik selepas penarikan subsidi barangan keperluan makanan seperti ayam, telur dan minyak masak. FOTO ROHANIS SHUKRI
Peniaga kecil, Fiera Mazda, 30, kemungkinan akan menaikkan harga jualan jika harga barangan mentah naik selepas penarikan subsidi barangan keperluan makanan seperti ayam, telur dan minyak masak. FOTO ROHANIS SHUKRI
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Peniaga dan penjaja kecil makanan dalam dilema sama ada akan menaikkan harga jualan atau tidak selepas berkuat kuasa penarikan subsidi minyak masak dua hingga lima kilogram (kg) dan telur ayam, Jumaat ini.

Bagi Muhd Alif Suaimi, 32, yang mengusahakan perniagaan rojak, bihun sup, laksa dan cendol milik keluarganya berkata, golongan peniaga kecil sepertinya akan lebih terkesan dengan penarikan subsidi berkenaan.

"Kenaikan harga barangan mentah memang sudah terasa selepas hari raya puasa lagi, contohnya ayam naik sekali ganda menyebabkan kami terpaksa menghentikan penjualan bihun sup ayam.

"Selain itu, banyak lagi barangan mentah lain seperti cili api, kacang tanah, timun dan sebagainya naik sekali ganda daripada biasa.

"Ia membuatkan kami terpaksa menaikkan harga semua makanan sebanyak RM1 dan cuma harga cendol sahaja masih dikekalkan," katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, dia akan mempertimbangkan semula kenaikan harga makanan selepas penarikan subsidi berkenaan.

"Saya akan kira dulu semua perbelanjaan untuk seimbangkan dengan kenaikan harga barangan tanpa subsidi.

"Jika harga barangan naik lebih tinggi daripada sekarang, kemungkinan saya akan menaikkan harga lagi.

"Sekarang ini pun kami tidak sampai hati dan segan menjual dengan harga ini, tetapi kami tiada pilihan," katanya.

Sementara itu, peniaga nasi kukus ayam dara, Ani Omar berusia 30-an, pula berkata, penarikan subsidi akan membebankan peniaga dan pengguna.

"Macam minyak masak paket, seorang pelanggan hanya dibenarkan membeli tiga paket sahaja dan biasanya untuk menampung kegunaan menggoreng ayam sehari sebanyak enam kg, saya perlu tambah dengan membeli minyak masak botol.

"Apabila subsidi ditarik balik, sudah pasti peniaga seperti saya akan lebih terkesan dengan kenaikan harga.

"Kami pula terpaksa menaikkan harga jualan kerana modal lebih besar," katanya.

Bagaimanapun katanya, dia belum memutuskan sama ada akan menaikkan lagi harga jualannya.

"Sekarang ini saya menjual dengan RM8 sebungkus dan terpaksa bertahan dengan cuma balik modal sahaja tetapi tiada untung dan tidak berbaloi dengan tenaga serta masa.

"Dengan penarikan semula subsidi minyak botol nanti, saya tidak pasti lagi hendak naikkan harga berapa kerana jadi serba salah.

"Kalau jual mahal-mahal nanti orang tidak mahu datang membeli, tetapi kalau jual murah pula kami pula terbeban dengan kenaikan harga bahan mentah pada masa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 4:48 PM