PEKERJA melayan pelanggan  membeli nasi lemak berlauk.
PEKERJA melayan pelanggan membeli nasi lemak berlauk.
Oleh Norfaisal Jahuri


Jasin: Walaupun berdepan dengan kos bahan mentah yang semakin meningkat peniaga gerai di Kilometer 13, Jalan Bukit Tembakau di pekan Umbai, di sini, masih mengekalkan harga nasi lemak kukus dan secawan teh pada harga RM1.

Kedai makan milik Anuwar Mat Sani, 43, yang jaraknya hanya 15 kilometer dari Bandar Melaka itu menawarkan sarapan pada harga paling patut buat penduduk sekitar Umbai, malah peniaga itu mendakwa tidak pernah menaikkan harga sejak mula berniaga pada 2010.

Anuwar juga tidak lokek dan pemurah kerana sedia melayan kerenah pelanggan yang mahu menu seperti menambah telur goreng dan menukar kepada Milo ais kerana caj tambahan dikenakan hanya RM1.

Menurutnya, antara faktor dia tidak menaikkan harga nasi lemak disebabkan tidak mahu hilang daya penarik pelanggan ke kedainya selain beranggapan pelanggannya berhak mendapat harga yang sepatutnya untuk bersarapan.

Selain itu, katanya, harga murah itu ditawarkan kerana dia tidak perlu membayar sewa bulanan kedai kerana berniaga di premis miliknya sendiri sekali gus, mampu menyerap kos tambahan setiap kali berlaku kenaikan harga barang mentah di pasaran.

“Alhamdulillah, walaupun saya perlu menggaji tiga pekerja, saya masih mampu menawarkan harga minuman dan makanan berpatutan di kawasan ini,” katanya, di sini, semalam.

Menurut Anuwar, bagi sepinggan nasi lemak berlauk, setiap ketul ayam goreng dikenakan harga RM2 dan tambahan 50 sen bagi ayam masak sambal.

Katanya, bagi setiap minuman panas pula berharga 50 sen manakala minuman ditambah susu atau berais berharga RM1.

“Ramai yang tertanya-tanya mampukah saya meraih keuntungan pada harga begitu murah berbanding keadaan semasa.

“Tapi saya menyatakan cukuplah dengan keuntungan yang ada walaupun tidak banyak,” katanya.

Premis perniagaan milik anak jati kampung itu dibuka bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari dan ditutup pada hari Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 10:25 AM