Yusmizal Dolah Aling


RAMAI di antara kita tidak mengetahui cabaran dan pengorbanan kakitangan Bahagian Pengurusan Dakwah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menguruskan jenazah tidak dituntut waris selama ini.

Ini kerana, mereka berdepan risiko dalam menjalankan fardu kifayah untuk memastikan setiap jenazah diuruskan dengan sempurna seperti mana syariat Islam.

Tidak seperti mayat sempurna, ada di antara yang diuruskan termasuk uzur, mangsa kemalangan dan anggota badan untuk dikebumikan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Dakwah (Cawangan Tasawur Islam) Sharidah Zainal Abidin berkata, antara risiko yang berada dalam pertimbangan kakitangannya adalah mayat daripada penyakit serius selain persiapan rapi bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

“Yang lain lebih kurang sama dengan menguruskan jenazah berwaris. Kami di Unit Kebajikan Islam JAWI akan memastikan pengurusan jenazah ini lancar biarpun ada yang sudah disimpan lama dalam tempoh dua atau tiga tahun di hospital,” katanya kepada Harian Metro.

Wartawan berpeluang merasai sendiri pengalaman bersama mereka menguruskan jenazah tidak dituntut di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, baru-baru ini dan ia memberikan ilmu pengetahuan yang begitu berharga.

Bermula daripada ketibaan daripada hospital, mayat diangkat dengan berhati-hati dan diletakkan di tempat khas untuk dimandikan dengan penuh teliti kerana keadaan yang agak uzur.

Mengambil masa selama 40 minit, jenazah kemudian dikapan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan.

Selain wartawan, mereka yang terbabit menguruskan jenazah pada hari itu ialah Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI Ilham Che Daud, Mohd Hafiz Zabidin, Mohd Izani Ibrahim, Shahrir Jaafar, Che Azman Che Yahya, Muhammad Shafiq Zaropi dan Muhammad Arrifaee Shaaripuddin.

Sharidah berkata, sejak awal tahun lalu, pihaknya menguruskan 81 jenazah terdiri daripada jenazah berwaris, jenazah tidak dituntut, mualaf, bayi dan anggota badan.

“Bergantung kepada keadaan mayat, kami mengambil masa 15 hingga 45 minit, bermula daripada menerima jenazah sehingga ke perkuburan.

“Kalau mayat itu agak lama, uzur atau reput, ia mengambil masa lama juga, sekitar satu jam.

“Justeru, JAWI menasihatkan orang ramai agar mengambil berat soal pengurusan jenazah kerana ia dituntut di dalam agama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAWI Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya berharap agar petugas diberikan kekuatan menggalas amanah suci itu seiring dengan peranannya sebagai sebuah agensi pengurusan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan.

“Amanah ini amat besar maknanya agar sifat rahmah Islam dapat ditampilkan di dalam kehidupan manusia terutama membabitkan pengurusan jenazah tidak berwaris dengan menyantuni manusia sesuai dengan darjat kemuliaan penciptaan sehingga pengakhiran hayatnya,”

katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 6:00 PM
 WARTAWAN Harian Metro (kanan) bersama Unit Kebajikan Islam JAWI menguruskan jenazah tidak dituntut waris. FOTO Rosdan Wahid
WARTAWAN Harian Metro (kanan) bersama Unit Kebajikan Islam JAWI menguruskan jenazah tidak dituntut waris. FOTO Rosdan Wahid