JENAZAH Islam yang tidak dituntut waris akan dikebumikan di tanah perkuburan Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur - Karak.
JENAZAH Islam yang tidak dituntut waris akan dikebumikan di tanah perkuburan Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur - Karak.
PROSES mengafankan jenazah selepas selesai dimandikan di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) oleh dikendalikan kakitangan JAWI.
PROSES mengafankan jenazah selepas selesai dimandikan di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) oleh dikendalikan kakitangan JAWI.
TAPAK kubur mempunyai bahagian berlainan antara lelaki, wanita dan kanak-kanak atau bayi.
TAPAK kubur mempunyai bahagian berlainan antara lelaki, wanita dan kanak-kanak atau bayi.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


“Mati itu pasti.” Ungkapan ini yang sudah acap kali kita dengar sejak kecil hingga pada usia senja.

Sebagai seorang Islam, sejauh mana kita bersedia menghadapi ketentuan Ilahi ini apabila orang tersayang ‘pergi’ untuk selama-lamanya.

Jika si mati ada ahli keluarga dan saudara-mara, sudah pasti waris akan menguruskan jenazahnya.

Namun, bagaimana pula dengan jenazah orang Islam yang meninggal di hospital, tetapi tidak dituntut waris? Siapakah yang perlu menguruskannya?

Menjawab persoalan itu, penulis berpeluang menimba pengalaman bersama lima anak muda dari Unit Kebajikan, Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Muhammad Shafiq Mohd Zaropi, 26, berkata, setiap jenazah orang Islam perlu disempurnakan mengikut empat perkara dalam fardu kifayah iaitu dimandi, kafan, solat dan kebumi.

“Menjadi tanggungjawab JAWI menguruskan jenazah orang Islam tidak berwaris supaya dapat dikebumikan dengan sempurna.

“Bagaimanapun, sebelum kami menguruskannya, beberapa prosedur perlu dilakukan terlebih dulu,” katanya.

Katanya, pihak forensik hospital terlebih dahulu akan mengenal pasti identiti mayat sama ada rakyat tempatan atau warga asing serta agamanya melalui proses bedah siasat (autopsi),” katanya.

Kebiasaannya, warga tempatan sama ada lelaki atau perempuan mudah dikenal pasti kerana Kementerian Kesihatan mewajibkan setiap bayi yang dilahirkan menjalani suntikan Bacille Calmette Guerin (BCG).

Muhammad Shafiq berkata, mayat akan disimpan mengikut tempoh tertentu bagi membolehkan waris mencari dan menuntut ahli keluarga yang terputus hubungan atau hilang secara tiba-tiba.

Adakalanya, penyimpanan mayat mengambil masa agak lama jika ada kes tertentu.

Ia bergantung kepada keputusan pihak polis dan hospital seperti kemalangan ngeri (untuk proses pengecaman wajah) dan kebakaran berbanding kematian disebabkan sakit biasa.

“Jika jenazah itu tidak dituntut selepas tempoh ditetapkan, proses pengebumian akan diserahkan kepada JAWI.

“Beberapa tahun lalu pernah berlaku kes selepas jenazah dikebumikan, ahli keluarga dan saudara-mara muncul di pejabat agama mengakui mereka waris si mati.

“Selepas laporan polis bersama bukti kukuh bahawa mereka ada hubungan dengan si mati, barulah waris diberikan sijil kematian.

“Masalah ini berlaku kerana waris tidak tahu saudara mereka sudah meninggal dunia kerana terputus hubungan atau si mati hilang secara tiba-tiba,” katanya.

Mungkin ramai beranggapan mereka yang menguruskan jenazah berhadapan dengan mimpi atau situasi pelik seperti yang kerap dibaca di majalah atau novel seram.

Bagaimanapun, Shafiq yang sudah tujuh tahun berkhidmat sebagai Pembantu Hal-Ehwal Agama Islam di JAWI tidak pernah melalui pengalaman itu.

“Kebanyakan pengalaman datang dalam pelbagai bentuk, tetapi seelok-eloknya kami menerimanya sebagai sebahagian daripada ujian yang perlu dihadapi ketika menguruskan jenazah.

“Walaupun saya tahu latar belakang jenazah atau sebab kematiannya, sebagai orang Islam kita perlu yakin semua itu kehendak Allah.

“Keyakinan itu bergantung kepada kesabaran, ketabahan dan amanah kami dalam menunaikan tanggungjawab sepatutnya sebagai orang Islam.

“Ia juga hasil tunjuk ajar daripada mereka yang sudah lama dalam bidang ini, selain ilmu yang kami pelajari kerana kebanyakan kami tiada pengalaman menguruskan jenazah sebelum berkhidmat dengan JAWI,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Unit Kebajikan, Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI, Zaitun Zakaria, sebanyak 44 jenazah lelaki dan sembilan jenazah wanita tidak berwaris diuruskan pihaknya sepanjang tahun ini sehingga Oktober lalu.

Katanya, JAWI akan dimaklumkan pihak hospital apabila ada jenazah Islam tidak berwaris yang perlu dikebumikan.

“Jika jenazah orang dewasa dan warga tempatan, kemungkinan maklumat lengkap boleh diperoleh melalui kad pengenalan. Tetapi, agak sukar diketahui jika warga asing, bayi atau janin.

“Kebanyakannya meninggal di wad hospital kerana sakit, kemalangan, mati mengejut atau kes ibu tinggalkan bayi yang sudah meninggal di hospital selepas bersalin.

“Bagi kes kemalangan yang menyebabkan terpisah anggota badan, cebisan mayat akan dikumpul terlebih dahulu sebelum dimandi dan dikafan dan dikebumikan dalam satu liang lahad.

“Pengurusan jenazah orang Islam tanpa waris tidak pernah dibezakankan sama ada kematian itu disebabkan sakit tua, penyakit sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS), pembunuhan atau kemalangan. Ia tetap dilakukan dengan tertib dan sempurna,” katanya.

Zaitun berkata, setiap ahli keluarga perlu menjalin hubungan kekeluargaan dengan lebih erat.

“Mereka keluarga atau saudara-mara kita sendiri. Sudah menjadi tanggungjawab waris untuk mengambil berat jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Semua jenazah yang tidak dituntut dikebumikan di Tanah perkuburan Raudhatul Sakinah dekat Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak mengikut bahagian yang ditetapkan sama ada dewasa, kanak-kanak atau bayi.

Tiada nama ditulis pada batu nisan, hanya nombor lot kubur sebagai penanda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 11:44 AM