Caliph Buskers.
Caliph Buskers.
Ridzuan Abdul Rahman

 

Petaling Jaya: Masih berusaha menuntut hak dan tak akan sesekali menghalalkan wang mereka berjumlah RM8,000 kepada penganjur. 

Ini pendirian kumpulan Caliph Buskers berkenaan baki bayaran persembahan di Pulau Pinang yang disertai mereka pada 9 dan 10 Disember tahun lalu yang masih belum dilunaskan penganjur.

Penyanyinya, Azmi Saat berkata, Caliph Buskers masih berusaha untuk mendapatkan wang itu kerana ia adalah hak serta hasil keringat mereka bekerja.

"Ikutkan memang kami tak halalkan sebab semasa kami pergi ke sana pada Disember tahun lalu, kami hanya ada duit cukup-cukup untuk makan. 

"Lebih-lebih lagi dalam tempoh itu kami agak sukar untuk mendapatkan tawaran kerja sebab baru sahaja tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Itu yang kami berharap untuk dapatkan bayaran persembahan itu.

"Sampai sekarang bayaran itu masih belum selesai, tapi kami sudah dapat sebanyak 20 peratus untuk bayar kepada kru yang terbabit dan kos pengangkutan ketika itu. Jadi, masih berbaki RM8,000 yang belum kami dapat," katanya dalam sidang media pelancaran lagu dan muzik video,  Inspirasi di sebuah restoran di sini, hari ini. 

Azmi bagaimanapun mengakui kesukaran untuk mendapatkan wang itu kerana sudah tidak mempunyai hubungan dengan penganjur. 

"Panggilan telefon yang dibuat kepada mereka juga sudah tidak berjawab. Memang sebelum ini kami faham keadaan penganjur yang mengalami kerugian sehingga menyebabkan mereka tidak mampu untuk membayar kami. 

"Dia menangis waktu jelaskan keadaan sebenar dan berjanji akan bayar hingga akhirnya kami terima alasannya. Tapi sekarang nak menghubunginya pun payah menyebabkan isu ini sampai sekarang belum selesai. 

"Bukan kami saja, malah kumpulan Lestari yang turut buat persembahan juga mengalami nasib yang sama. Begitu juga program ini pun gagal dapat bayaran," katanya. 

Azmi berkata, pihaknya memahami masalah penganjur yang berdepan kerugian, namun pada masa sama perlu membayar khidmat mereka. 

"Kami tahu penganjur berdepan kerugian selepas karnival yang sepatutnya berlangsung selama 10 hari terpaksa dipendekkan kepada tiga hari disebabkan faktor cuaca. 

"Buat masa ini kami tak berhasrat untuk menggunakan khidmat guaman memandangkan ia membabitkan kos yang besar. Lagipun jika nanti terbukti syarikat ini sudah muflis, kami tak dapat tuntut apa-apa. 

"Mungkin penganjur perlukan masa untuk cari duit, kami tetap akan tunggu duit kami. Namun selepas ini kami akan lebih berhati-hati dengan menyediakan kontrak perjanjian sebelum menerima tawaran persembahan," katanya. 

Dalam perkembangan  berkaitan, Caliph Buskers lega dan bersyukur single Inspirasi akhirnya dilancarkan kepada pendengar muzik tempatan.

Inspirasi adalah hasil ciptaan Azmi bersama Datuk Reduan Yusof yang mengisahkan mengenai perjuangan seseorang dalam kehidupan.

"Kali terakhir kami lancarkan single ialah pada 2021. Alhamdulillah, akhirnya Inspirasi dapat diperdengarkan kepada semua. Kalau kita hayati liriknya, ia dapat bagi motivasi pada kita.

"Perjuangan memang ada susahnya. Tak kira perjuangan rumah tangga atau kehidupan kita sendiri. Dalam masa berjuang itu pasti berdepan dengan rasa penat atau mengalah.

"Lagu ini bertujuan memberikan semangat kepada semua supaya jangan berhenti berjuang kerana di hujung nanti kita akan rasa kemanisannya," ujarnya.

Muzik video dan lagu terbitan Rubbertapper Production House (M) Sdn Bhd arahan Amie Maziah Abd Rahman diedarkan Universal Music Malaysia dan sudah dimainkan di stesen-stesen radio tempatan, selain turut dimuatnaik di saluran YouTube Masyur pada 4 Ogos lalu.

Selain Azmi, Caliph Buskers dianggotai Fendy Adlun sebagai pemain dram, Zaki Ismail (bass) dan Nirwan Zainalabidin (gitar).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 7:51 PM