CALIPH Buskers masih tidak percaya mereka kini dikenali ramai.
CALIPH Buskers masih tidak percaya mereka kini dikenali ramai.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Mahalnya harga sebuah populariti. Itulah yang perlu dibayar Caliph Buskers yang masih terkejut selepas dikenali ramai gara-gara persembahan mantap mereka bersama Mojo dalam Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) lalu.

Dalam masa sama, mereka juga terkilan kerana Caliph Buskers mula berdepan dengan pelbagai gosip tidak berasas sedangkan matlamat mereka memasuki arus muzik ‘mainstream’ bertujuan menghiburkan peminat.

Mencari rezeki dengan bermain muzik dijalanan, Caliph Buskers yang dianggotai Azmi Saat, Fendy Adlun, Zaki Ismail, Nirwan Zainalabidin dan Nadira Rubiana kecewa apabila kenyataan mereka mengenai perhimpunan haram di ibu kota baru-baru ini dimanipulasi segelintir pihak.

“Kami tak berniat masuk campur hal politik kerana peminat kami terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat dengan ideologi berbeza,” kata mereka.

Selain itu, Caliph Buskers juga didakwa sudah mula meletakkan harga tinggi setiap kali dipanggil membuat persembahan.

Penyanyi utamanya, Azmi berkata, perkara itu memang berlaku, tetapi ia bersebab.

“Kenaikan itu memang ada kerana Caliph Buskers nak membaiki ‘standard’ persembahan di mata peminat serta penganjur.

“Dulu kami bergerak ke sesuatu lokasi persembahan menggunakan teksi dan duduk dalam keadaan bersesak. Sistem bunyi yang dibawa pun ala kadar atau jenama ‘cap ayam’ saja,” katanya.

Azmi berkata, mereka kini cuba meningkatkan kualiti Caliph Buskers agar seiring dengan populariti yang dikecapi kini.

“Kami kini menyewa sebuah van yang selesa bersama dengan pemandu. Sistem bunyi yang dibawa pun agak bagus. Kami juga kena bayar khidmat kru. Apa yang dibuat semuanya untuk peminat juga.

“Sebenarnya apa yang diperoleh pun lebih kurang juga selepas ditolak kos lain. Prosesnya sama juga seperti dibuat penyanyi lain.” katanya menjelaskan keadaan sebenar.

Menurutnya, memandangkan Caliph Buskers sudah dikenali, mereka perlu tampil dengan sesuatu yang berbeza dan perkara ini tentunya membabitkan kos tambahan.

“Kami berharap agar semua pihak faham dengan keadaan Caliph Buskers. Kami sekarang sudah dikenali ramai, jadi takkanlah kami nak kekal dengan corak persembahan serupa setiap kali buat persembahan.

“Apa yang kami buat untuk kebaikan Caliph Buskers sendiri selain untuk meyakinkan serta memberi kepuasan buat penganjur yang menggunakan khidmat kami.

“Dalam pada itu, kami juga minta maaf tak dapat memenuhi setiap undangan yang datang berikutan jadual persembahan yang terlalu padat sehingga tahun depan,” jelasnya.

Sebelum dilamar anggota Mojo dan KRU Edry Abdul Halim, Caliph Buskers bermain muzik di depan pusat beli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun selepas AJL29, mereka baru dua kali berpeluang tampil beraksi di situ kerana sibuk memenuhi undangan mengadakan persembahan di seluruh negara.

Tampil single sendiri

Jika sebelum ini bergantung kepada lagu Romancinta serta menyanyikan lagu orang lain, Caliph Buskers gembira apabila akhirnya mempunyai single sendiri berjudul Hanya Nama Mu ciptaan Edry Abdul Halim.

Azmi berkata, lagu itu berkonsepkan ketuhanan bagi melahirkan kesyukuran mereka terhadap apa yang diperoleh sekarang.

“Kami minta Edry hasilkan lagu ini dan apabila siap, mendapati ia sebuah lagu yang menarik.

“Agak susah untuk menyanyikannya kerana vokalnya yang mencabar, manakala liriknya mendalam. Edry cipta lagu ini pun berdasarkan kepada kisah hidup kami.

“Apa yang kita ada, apa yang kita buat kena ingat semuanya milik Allah. Lagu ini mampu menaikkan semangat apabila dihayati betul-betul. Kami sendiri seakan belum boleh terima hakikat bahawa rezeki kami datang mendadak tanpa dirancang,” katanya yang memberitahu lagu ini sudah dimainkan di stesen radio.

Mereka sudah memperdengarkan lagu ini buat kali pertama di depan peminat menerusi persembahan di stesen LRT Dang Wangi, 11 April lalu dan menerima respon positif.

“Memang seronok dapat menyanyikannya di depan peminat yang kami lebih selesa gelar sahabat. Kami puas kerana dapat capai satu cita-cita. Ini satu cabaran kerana kami menyanyikan lagu baru. Ia berbeza daripada menyanyikan lagu yang orang dah tahu.

“Kami gembira dengan peluang yang diberikan untuk beraksi di situ. Ini antara peluang yang baik untuk kami mengembangkan bakat. selepas ini kami merancang untuk buat persembahan di luar Kuala Lumpur pula seperti di Menara Tamingsari, Melaka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 12:36 PM