CALIPH Buskers tidak anggap kemunculan khas penyanyi terkenal ganggu periuk nasi pemuzik jalanan.
CALIPH Buskers tidak anggap kemunculan khas penyanyi terkenal ganggu periuk nasi pemuzik jalanan.
Rudy Imran Shamsudin


ARTIS popular menghiburkan pengunjung di kawasan tumpuan pemuzik jalanan atau busker kini menjadi kebiasaan.

Ini ditambah dengan penerimaan umum terhadap pemuzik jalanan semakin baik terutama di depan pusat beli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan ramai.

Malah, dalam satu-satu masa mereka boleh menghimpunkan hampir 300 penonton yang mahu mendengar busker ini bermain muzik dan menghiburkan pengunjung.

Mungkin daripada pandangan beberapa pihak kekerapan beberapa artis popular ‘turun padang’ dan menyanyi di jalanan menimbulkan situasi kurang senang.

Mereka mungkin dianggap cuba mengganggu periuk nasi pemuzik jalanan yang mencari makan sepenuh masa menghiburkan pengunjung di situ.

Bagaimanapun, kumpulan Caliph Buskers yang bermula sebagai pemuzik jalanan melihat perkara itu dari sudut positif.

Penyanyinya, Khairul Azmi Mohd Saat atau Azmi berkata, dia seronok dengan perkembangan itu.

“Ia secara tidak langsung menunjukkan aktiviti busking dihargai dan secara tidak langsung membantu mengangkat pemuzik dan penyanyi jalanan yang sedang ada dan aktif,” katanya.

Selain Azmi, Caliph Buskers yang turut dianggotai Syahzmeen, Wan, Fendy, Zaki dan Nadira masih meneruskan ‘kerja’ sebagai pemuzik jalanan walaupun tidak aktif seperti dulu.

Azmi berkata, mereka tidak pernah melihat kehadiran penyanyi popular menyanyi bersama penyanyi jalanan mengganggu periuk nasi mereka.

“Mereka bukan ‘turun’ selalu, sebaliknya hanya membuat kemunculan khas atau membuat rakaman dan memuat naik di laman sosial, tidak lebih dari itu. Jadi, tidak timbul soal penyanyi popular mengganggu periuk nasi penyanyi jalanan,” katanya.

Azmi berkata, walaupun Caliph Buskers sudah bergelar artis rakaman, busking tidak dapat dipisahkan kerana mereka memulakan kerjaya dari situ.

Sementara itu dari satu sudut, ada yang beranggapan buat apa mereka membayar untuk menyaksikan Caliph Buskers menyanyi sedangkan mereka boleh menyaksikan persembahan kumpulan itu secara percuma di jalanan.

Menurut Azmi, mereka ada membincangkan mengenai perkara itu.

“Pandangan itu ada betulnya. Jadi, disebabkan itu setiap kali kami mengadakan persembahan di tempat tumpuan buskers, kami tidak akan memaklumkan di laman sosial.

“Ia ibarat rezeki kepada peminat, sekiranya Caliph Buskers ‘turun’ menghiburkan pengunjung, bermakna mereka adalah peminat yang bertuah. Kami tidak akan menghebahkannya,” katanya.

Sepanjang Ramadan ini, Caliph Buskers tetap busking kerana mereka tidak seperti artis lain yang boleh menjalankan perniagaan menjual pelbagai barangan seperti baju atau kuih raya.

“Kami tidak mempunyai kemahiran itu dan kami cuma tahu main muzik. Jadi, jika ada kelapangan dan untuk mencari duit lebih kami tetap bermain muzik dan menyanyi di kawasan tumpuan buskers,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 4:30 AM