PERSEMBAHAN Caliph Buskers sememangnya ditunggu-tunggu.
PERSEMBAHAN Caliph Buskers sememangnya ditunggu-tunggu.
KRU turut tampil menghiburkan penonton.
KRU turut tampil menghiburkan penonton.
PENONTON yang hadir menyaksikan Hot FM Busking.
PENONTON yang hadir menyaksikan Hot FM Busking.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Siapa tidak kenal dengan Hot FM yang dikenali sebagai stesen radio mengikuti trend dan peredaran semasa. Tidak hairanlah apabila mereka sering hadir dengan idea hangat dan memenuhi cita rasa semasa.

Tidak dinafikan fenomena Caliph Buskers yang sedang rancak diperkatakan berjaya memberi nafas baru kepada industri hiburan.

Tidak mahu ketinggalan, Hot FM mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Caliph Buskers bagi acara Hot FM Busking Jam.

Cetusan idea ini lahir apabila mereka mendapat permintaan tinggi daripada pendengar yang meminta program berkenaan diadakan di luar Lembah Klang kerana kebanyakan pendengar tidak berkesempatan merasai kemeriahan AM Krew vs Caliph Buskers yang berlangsung di Central Market, Kuala Lumpur pada 23 Januari lalu.

Ternyata, kejutan berlaku apabila Hot FM Busking Jam yang berlangsung pada 21 Februari lalu di Dataran Teluk Kemang, Port Dickson, berjaya menarik hampir 5,000 penonton.

Mereka hadir semata-mata mahu menyaksikan persembahan bertenaga barisan artis yang ditampilkan iaitu Caliph Buskers, Mojo, KRU dan Forteen yang sememangnya mempunyai kekuatan tersendiri.

Lebih daripada itu, acara ini turut menampilkan artis baru di bawah naungan KRU iaitu Duality.

Tidak terkecuali tampil bertemu peminat ialah semua penyampai Hot FM iaitu Fara Fauzana, AG, Fizie, Ikhwan, Tun Nadia, Deen, Liza dan Haziq.

Biarpun program bermula jam 8.30 malam, peminat sudah memenuhi lokasi persembahan sejak petang lagi.

Mereka seakan-akan tidak sabar untuk menyaksikan persembahan setiap artis yang dibawakan.

Sememangnya Caliph Buskers menjadi tumpuan ramai dan peminat mula bersorak sebaik mereka tampil dengan lagu Sofea Jane sebagai pembuka tirai acara.

Berikutnya, giliran artis lain mengadakan persembahan, namun penonton tetap setia menanti persembahan penutup kerana ingin menyaksikan persembahan Caliph Buskers dan Mojo yang bergandingan menyampaikan lagu Romancinta.

Fizie yang kali kedua terbabit dengan program ini mengakui terkejut dengan sambutan yang diterima bukan saja dari kawasan sekitar, tetapi juga dari Melaka dan Johor.

“Bagi saya, apabila ada acara sebegini, secara tak langsung dapat mengeratkan lagi silaturahim antara Hot FM dan pendengar kerana mungkin sebelum ini kita hanya dapat bermesra di udara.

“Apabila dapat bertentang mata, saya rasa hubungan ini bertambah akrab kerana kami menganggap pendengar adalah keluarga besar kami. Tambahan pula acara dimeriahkan lagi dengan penyanyi kesayangan mereka,” katanya.

Sebagai keluarga baru, Liza teruja dapat menyertai program ini. Ia juga peluang buatnya untuk mendekati peminat di luar Kuala Lumpur.

“Hot FM Busking Jam ini adalah satu cara untuk mendekatkan peminat bersama penyampai Hot FM dan juga artis kesayangan mereka. Mungkin sebelum ini ‘busking’ sukar diterima masyarakat, namun kemunculan Caliph Buskers memberi satu sisi lain buat peminat muzik,”katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan, Rangkaian Radio Media Prima Anida Mohd Tahrim berkata, keputusan untuk terus menganjurkan acara ini dibuat atas permintaan peminat.

“Kami mengambil inisiatif untuk terus menganjurkan Hot FM Busking Jam ini atas sambutan hangat di acara busking AM Krew vs Caliph Buskers di Central Market baru-baru ini.

“Bertitik tolak dari situ, kami juga mendapat permintaan tinggi serta cadangan daripada pendengar menerusi media sosial untuk membawa acara busking ini ke lokasi luar Kuala Lumpur,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 11:03 AM