Norhayati Nordin


Rezeki Allah siapa yang tahu. Kalau dulu, kumpulan pemuzik jalanan orang kurang upaya (OKU), Caliph Buskers mungkin dipandang sebelah mata. Namun kemunculan mereka di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) tahun lalu, nyata mengubah nasib mereka.

Dianggotai vokalis, Azmi Saat, 29; Mohd Zaki Ismail (gitaris), 37; Nirwan Zainal Abidin (gitaris), 27; Fendy Abdullah (dram), 25 dan Nor Nadira Rubina, 25, Caliph Buskers kini berada di puncak populariti.

Berbekalkan single Ha­nya Nama-Mu ciptaan Edry Abdul Halim, nama Caliph Buskers melonjak di persada muzik tanah air dalam sekelip mata.

Hanya Nama-Mu turut layak bersaing di kemuncak AJL30 pada Januari lalu dan mereka pulang dengan tempat ketiga.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru Caliph Buskers selepas kejayaan diraih tahun demi tahun, Azmi sewaktu ditemui baru-baru ini berkata, mereka sekarang dalam proses memilih lagu untuk diketengahkan sebagai single kedua.

“Setakat ini, kami sudah merakamkan tiga lagu semuanya ciptaan Edry. Bagaimanapun, lagu yang mana akan dipilih sebagai single kedua belum diputuskan lagi.

“Dalam keadaan pasaran muzik sekarang, kami cuba memahami cita rasa pendengar. Disebabkan itu, kami ada sedikit kesulitan dalam membuat keputusan.

“Sebenarnya, ketiga-tiga lagu dirakam itu memiliki melodi yang mantap dan lirik pun sedap didengar. Jadi, itu yang membuatkan kami sukar memilih,” katanya.

Menurut Azmi, apa pun dia mengharapkan single kedua Caliph Buskers itu dapat diperdengarkan kepada peminat tidak lama lagi.

Memaklumkan jadual seni Caliph Buskers yang padat, Azmi menegaskan kejayaan diraih sepanjang dua tahun ini tidak pernah membuatkan mereka lupa pada asal usul.

“Jiwa ‘busking’ kami tidak pernah pudar. Tak dinafikan, perasaan rindu membuat persembahan di jalanan memang dirasai.

“Bagi melepaskan rindu dan mungkin ketagih kami untuk ‘busking’ boleh dikatakan dalam sebulan, sehari dua akan kami kosongkan jadual.

“Kekosongan itu kami isi dengan melakukan aktiviti ‘busking’ di kawasan lama iaitu hadapan pusat beli-belah Sogo di ibu kota,” katanya.

Mengulas mengenai cara penerimaan peminat dulu dan sekarang, Mohd Zaki pula menjelaskan memang berlaku perubahan yang besar.

Katanya, kalau dulu orang ingat pemuzik OKU seperti Caliph Buskers adalah peminta sedekah apabila mereka membuat persembahan.

“Tetapi, sekarang keadaan jauh berbeza. Kami sudah ada kelompok peminat sendiri yang memang menunggu Caliph Buskers ‘busking’ di tempat lama.

“Bahkan, mereka juga faham Caliph Buskers bermain muzik kerana minat. Kini, perjuangan muzik kami dilihat secara positif oleh umum,” katanya.

Mohd Zaki yang turut mengusahakan pusat mengurut di Sri Petaling berkata, meskipun Caliph Buskers adalah pemuzik OKU, mereka sama sekali tidak menagih simpati.

Katanya, Caliph Buskers lebih selesa mendapat layanan sama rata seperti orang nomal. Tegasnya lagi, setiap ahli kumpulannya lebih suka berdikari.

Enggan hanyut dengan populariti dikecapi kini, Mohd Zaki berkata anggota Caliph Buskers yang lain juga mempunyai perancangan masa depan.

“Kami pun tidak tahu rezeki dalam industri muzik ini bertahan sampai bila. Jadi, wajar untuk kami mula merancang masa depan masing-masing.

“Ditambah lagi, kami semua memiliki keluarga. Apa pun, selagi karya nyanyian kami diterima, Caliph Buskers akan meneruskan perjuangan ini.

“Kami tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Apatah lagi, kami sangat yakin dengan perancangan terbaik daripada Allah buat kami,” katanya.

Menyimpan impian untuk muncul dengan album sulung suatu hari nanti, apa yang pasti Caliph Buskers enggan terburu-buru dalam membuat keputusan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:04 AM