JEAN tertekan menerima piza yang tidak pernah dipesannya sejak sembilan tahun lalu. FOTO Agensi
JEAN tertekan menerima piza yang tidak pernah dipesannya sejak sembilan tahun lalu. FOTO Agensi
Agensi

SEORANG lelaki di Antwerp, Belgium tertekan kerana menerima piza tidak dipesannya secara berterusan sejak sembilan tahun lalu.

Mirror UK melaporkan, Jean Van Landeghem mendakwa pernah menerima sehingga 14 piza dalam sehari, pada Januari tahun lalu.

Anehnya, lelaki berusia 65 tahun itu tidak memesan makanan berkenaan tetapi tetap menerimanya termasuk ketika awal pagi.

Katanya, pesanan itu dihantar daripada pelbagai premis makanan segera berhampiran rumahnya.

"Segala-galanya bermula sembilan tahun lalu apabila loceng rumah saya berbunyi dan sebaik pintu dibuka, penghantar makanan menyerahkan piza yang tidak dipesan.

"Saya sangkakan setakat itu saja tetapi penghantaran piza berterusan sehingga kini. Tidak kira hari biasa, hujung minggu atau bila-bila saja, malah saya pernah menerima makanan itu pada 2 pagi," katanya kepada Het Laatste Nieuws.

Menurut Jean, penghantaran piza tanpa henti itu mengganggu kehidupan hariannya.

"Saya tidak boleh tidur. Badan saya menggigil setiap kali terdengar bunyi skuter di jalan raya.

"Keadaan itu juga menjadikan saya hidup dalam ketakutan kerana memikirkan ada yang akan menghantar piza setiap hari," katanya.

Jean tidak berseorangan kerana rakannya turut menjadi 'mangsa' apabila menerima piza tidak dipesan dan dia mengesyaki individu membuat pesanan itu adalah seseorang yang mereka berdua kenali.

Difahamkan, Jean cuba menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan bagi menjejaki individu terbabit tetapi cubaannya tidak berhasil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 1:33 PM