Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Saya pernah mendapat pesanan untuk menghantar barangan daripada seorang individu prihatin terhadap rakannya yang sudah tiga hari terputus bekalan makanan.

"Situasi itu memberi kesan yang amat mendalam pada diri saya," kata pekerja syarikat penghantaran makanan Muhammad Khairi Raulah, 24, ketika menceritakan pengalaman yang dihadapinya ketika menghantar pesanan di Cheras, di sini, tiga minggu lalu.

Katanya, pada mulanya dia menyangka pesanan itu dibuat oleh si pemesan, namun, sebaik tiba di lokasi dituju dan menghubungi semula si pemesan baru dia tahu barangan keperluan asas itu adalah untuk sebuah keluarga yang sudah kehabisan makanan.

"Ketika itu, penghuni di rumah itu sudah dua tiga hari terputus bekalan makanan. Ketua isi rumah berkenaan tiada punca rezeki kerana sudah tiada kerja," katanya.

Muhammad Khairi ditemui ketika menghantar pesanan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, iaitu antara 14 lokaliti di ibu negara yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini sehingga 16 Julai ini.

Berikutan trend jangkitan tinggi di Lembah Klang, kerajaan pada Khamis lalu mengumumkan PKPD dilaksanakan 34 mukim membabitkan lapan daerah di Selangor selain 14 lokaliti di Kuala Lumpur bagi tempoh berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata antara faktor PKPD itu dilaksanakan berikutan mengambil kira kepadatan penduduk dan penularan tiga varian baharu yang lebih ganas iaitu varian Beta B.1.351 (Afrika Selatan), Delta B.1.617.2 (India) dan Alpha B.1.1.7 (United Kingdom).

Mengulas mengenai langkah kerajaan melaksanakan PKPD itu, Muhammad Khairi berkata, tindakan diambil bagus untuk mendisiplinkan rakyat dan mengurangkan pergerakan jalan raya namun perlu diakui sektor ekonomi terjejas.

Muhammad Khairi Raulah.
Muhammad Khairi Raulah.

"Harap PKPD tak sambung. Walaupun agak mudah bagi kami rakan penghantar, menghantar pesanan kerana tidak perlu ke rumah pelanggan sebaliknya pelanggan akan datang ke subtek Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laluan keluar masuk untuk mengambil barang yang dipesan.

"Tetapi, ada sesetengah tempat PKPD tak dibenarkan masuk langsung, manakala di kawasan PKPD yang dilingkari kawat duri hanya masa tertentu sahaja rakan penghantar boleh beroperasi," katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati tiada lingkaran kawat berduri dipasang di PKPD PPR Kerinchi, bagaimanapun kawasan kejiranannya di Taman Bukit Angkasa dikelilingi kawat berkenaan sejak PKPD berkuat kuasa bermula 1 Julai hingga 14 Julai ini.

Setiap laluan keluar masuk bertar di PPR Kerinchi merangkumi enam blok iaitu A, B, C, D, E, F dan mempunyai kira-kira 6,890 jumlah penduduk itu ditutup dengan penghadang plastik.

Seorang lagi penghantar makanan, Husni Harris, 25, berkata, pesanan yang diterima agak berkurangan sejak PKPD di sebahagian besar Lembah Klang bermula hari ini.

"Setakat saya tahu, ada kawasan PKPD yang penduduknya tidak boleh buat pesanan dalam talian. Mungkin sebab itu rider kekurangan menerima pesanan," kata penuntut Universiti Malaya (UM) yang mengambil jurusan ekonomi itu.

Sementara itu, Hasnan Ahmad, 55, yang ditemui ketika menghantar barangan keperluan dan makanan mentah untuk anaknya yang baru berkahwin dan tinggal di PPR Kerinchi meminta supaya wakil rakyat kerap turut padang untuk melihat realiti hidup rakyat.

"Alhamdulillah elok buat PKPD untuk kebaikan semua. Buat masa ini saya boleh pergi hantar barangan keperluan untuk anak.

"Tetapi sedih tengok orang yang sangat terkesan. Bagi saya penyampaian barangan keperluan untuk tempat tertentu kurang efisyen.

"Elok kerajaan tingkatkan lagi bantuan... YB (wakil rakyat) elok banyak kerja turun padang sikit. Jangan bercakap sahaja. Mereka ini berkhidmat untuk pengundi, bukannya pengundi hingga sampai kena merayu mereka," katanya.

Selain itu, ketika tinjuan Harian Metro didapati kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Food Aid Foundation menghantar barangan makanan keperluan asas untuk diagihkan di PKPD Kerinchi.

Sukarelawannya, Johan Ong, 48, berkata, pihaknya sudah menghantar barangan makanan asas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac tahun lalu di beberapa lokasi di Malaysia.

"Setiap hari kita akan agihkan antara 300 hingga 500 pakej bungkusan makanan termasuk mi segera, beras, bungkusan minuman untuk dibancuh seperti teh, kopi atau coklat, susu pekat manis, gula, makanan dalam tin dan tepung gandum khususnya untuk golongan B40 dan sesiapa yang dikenal pasti memerlukan bantuan.

"Hari ini kami sudah kenal pasti 61 keluarga memerlukan bantuan di PPR Kerinchi dan kami akan agihkan kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 4:09 PM
ukarelawan Food Aid Foundation, Johan Ong (kanan) menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada pegawai bertugas. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
ukarelawan Food Aid Foundation, Johan Ong (kanan) menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada pegawai bertugas. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI