Rosyahaida Abdullah


KUALA LUMPUR: “Dengan kenyataan yang dikeluarkannya, saya tidak akan teragak-agak untuk mogok sama jika skim itu dilaksanakan di Lembah Klang.

“Ketika itu nanti, saya yakin betapa ramainya penunggang akan turut serta, apa lagi sekarang pun majoriti penghantar yang saya kenal sudah mula memohon untuk jadi penghantar pesanan bagi syarikat lain,” kata penunggang Foodpanda dikenali sebagai Mael.

Mael, 38, antara penunggang yang kesal selepas Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia Sayantan Das mengeluarkan kenyataan syarikat perkhidmatan penghantaran makanan itu tiada masalah dengan mogok penunggang terhadap skim pembayaran baru mereka.

Menurut Mael, skim pembayaran baru itu secara jelas tidak sesuai dilaksanakan lebih-lebih lagi buat penunggang yang melakukan penghantaran makanan secara sepenuh masa.

“Kami hanya mampu hantar paling banyak tiga pesanan dalam sejam. Itupun jika pesanan memang banyak iaitu pada awal bulan serta waktu makan tengah hari dan malam.

“Selebihnya mungkin satu pesanan dalam sejam malah kadangkala dua tiga jam membuang masa cuma untuk menunggu satu pesanan yang tak masuk-masuk,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi penunggang dikenali sebagai Ijat, 23, mengakui terguris dengan kenyataan Sayantan dan menyifatkan pengarah urusan itu sebagai tidak menghargai penat lelah penghantar makanan untuk syarikatnya.

Katanya, untuk mendapat satu pesanan pun bukan mudah, apatah lagi jika penghantar baru perlu tunggu penghantar lain tolak syif untuk membolehkannya mendapat pesanan.

Menurutnya, skim baru itu tidak patut dilaksanakan.

“Jika dia berterusan angkuh, kita lihatlah nanti bagaimana agaknya kalau dia sendiri yang perlu hantar makanan dalam keadaan hujan lebat sambil menjaga makanan yang dipesan.

“Saya sedang pertimbangkan untuk bekerja dengan beberapa syarikat lain antaranya Grabfood, Dahmakan, Bungkusit, Lazada dan Shopee,” katanya.

DR Mahathir pada hari pertama Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
DR Mahathir pada hari pertama Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama

‘Itu bukan pendirian kerajaan’

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai syarikat penghantaran makanan dalam talian, Foodpanda, kelmarin, bukan pendirian kerajaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kenyataan terbabit pendapat peribadi Syed Saddiq dan tiada sebarang perbincangan diadakan di peringkat kabinet mengenai perkara itu.

“Itu pendapat dia (Syed Saddiq), dia tidak bincang dalam Kabinet (dan ia) bukan pendirian kerajaan, mungkin dia ada sebab kenapa membuat kenyataan tersebut,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Dr Mahathir ditanya mengenai kenyataan Syed Saddiq kelmarin dalam catatan media sosial Twitternya sikap keangkuhan bukan jalan penyelesaian bagi menyelesaikan isu berkaitan Foodpanda.

Syed Saddiq turut meminta supaya hanya menyokong syarikat korporat yang adil kepada pekerja dan pengguna.

Kenyataan Syed Saddiq terbabit susulan Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia, Sayantan Das yang berkata, syarikat itu akan mengekalkan skim pembayaran baharu untuk ‘rider’ di luar Lembah Klang. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 5:50 AM