MUHAMMAD Fadzil menjamah kek hari jadi pelanggan yang dibawa pulang ke rumah. FOTO Ihsan Muhammad Fadzil Jahari
MUHAMMAD Fadzil menjamah kek hari jadi pelanggan yang dibawa pulang ke rumah. FOTO Ihsan Muhammad Fadzil Jahari
Redzuan Muharam


Nilai: Meskipun tidak sengaja, Muhammad Fadzil Jahari sanggup membayar semula wang bagi menebus kesalahan selepas kek hari jadi dipesan pelanggannya 'rosak'.

Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas Fatin Afifah Zaid, 29, yang juga isteri Muhammad Fadzil, 30, memuat naik video penghantar makanan itu di TikTok, baru-baru ini.

Video itu menunjukkan Muhammad Fadzil duduk sambil menjamah kek 'rosak' itu yang dibawa pulang ke rumah hingga meruntun hati warganet.

Muhammad Fadzil yang juga bapa dua anak itu berkata, kejadian itu berlaku bulan lalu cuma baru dikongsikan isterinya.

Bercerita kisah sebenar, Muhammad Fadzil berkata, kek berkenaan dipesan seorang pelanggan daripada sebuah premis dalam sebuah pusat beli-belah, di sini.

Selepas mengambil kek berkenaan, dia terus meletakkannya di dalam beg penghantaran sebelum bergerak ke rumah pelanggan dengan menunggang motosikal.

"Selepas tiba di rumah pelanggan, saya perasan hiasan atas kek itu jadi sedikit comot. Jadi, saya pun tunjukkan kepada pelanggan supaya dia nampak sendiri keadaan kek itu.

"Oleh kerana tak dapat kek seperti diharapkan, pelanggan itu pun minta saya kembalikan wang RM60 yang sudah dibayar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Disebabkan enggan memanjangkan cerita, Muhammad Fadzil mengikut permintaan pelanggannya itu.

"Ketika itu, anak pelanggan berkenaan ada bersama dan kerana kasihan melihat wajahnya, saya pun pulangkan duit kepada ibunya. Lagipun, saya seorang bapa jadi faham perasaan anak pelanggan itu yang mungkin teruja menanti kek hari jadinya.

"Tapi jauh di sudut hati, saya bukan hanya rasa bersalah tetapi kecewa juga kerana sudah cuba tunggang motosikal dengan paling selamat tetapi jadi begitu (kek rosak) namun apa boleh buat, benda sudah terjadi.

"Harga kek itu cuma RM60 tapi rasa mahal sangat kerana sudah hujung bulan dan pinjam duit kakak dulu untuk bayar. Lagi menyedihkan apabila waktu itu susu anak di rumah pun sudah habis," katanya,

Menurut Muhammad Fadzil, selepas kejadian itu, dia terus pulang ke rumah membawa kek berkenaan.

"Nak buang (kek) sayang jadi saya bawa balik dan makan walaupun setakat jamah saja.

"Sambil makan, saya termenung juga fikirkan apa yang berlaku kerana sedar betapa susahnya nak cari duit. Tak sangka pula isteri rakam ketika itu dan muat naik di TikTok baru-baru ini," katanya.

Muhammad Fadzil berkata, dia ada pekerjaan tetap namun menjadi penghantar makanan sejak setahun lalu bagi menambah pendapatan.

"Saya buat kerja itu pada hari cuti kerana nak bergantung dengan gaji tetap memang tak cukup. Apa boleh saya katakan, kerja sebagai penghantar makanan bukan mudah kerana nak tunggu satu pesanan masuk pun bukan sekejap.

"Sampai satu tahap, saya hampir putus asa tetapi kalau tak buat, mencabar juga nak sara keluarga dalam keadaan ekonomi sekarang jadi tabahkan hati saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 4:28 PM