RUANGAN halimunan pada treler digunakan sindiket untuk menyembunyikan rokok seludup.
RUANGAN halimunan pada treler digunakan sindiket untuk menyembunyikan rokok seludup.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ahmad Hasbi


Kuala Lumpur: Mengumpulkan pasukan profesional yang memiliki pelbagai kemahiran berbeza.

Mereka ini diupah bagi mengatur strategi serta memastikan rokok tembakau dan rokok elektronik cuba diseludup ke Singapura disembunyikan amat rapi di dalam pelbagai model kenderaan berat.

Pasukan upahan ini dipercayai membabitkan pakar kimpalan, eksesori kenderaan serta pakar ubah suai komponen yang ditugas memikirkan 'idea' bagi menyembunyikan sebanyak mungkin rokok seludup di dalam kenderaan bakal melepasi pemeriksaan di pintu sempadan.

Sumber berkata, kerja modifikasi kenderaan berat ini dilakukan di bengkel khas membabitkan model lori kotak 'bonded' membawa muatan sejuk beku, lori bersaiz besar tiga dan lima tan hingga kepada treler membawa kontena.

"Sindiket terlebih dahulu akan menambah ruangan rahsia di bahagian lantai, dinding, bumbung atau kontena muatan sebelum 'menyumbatkan' rokok yang mahu diseludup ke negara jiran Singapura.

"Sindiket akan melakukan modifikasi menggunakan aluminium, zink, besi atau gentian fiber bagi memastikan ruangan rahsia itu mampu mengisi hingga beribu kotak rokok seludup," katanya.

Menurutnya, kerja dilakukan amat teliti bagi memastikan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Pusat Pemeriksaan Tuas dan Woodlands sukar 'menghidu' taktik 'sorok rokok' menggunakan lori berpendaftaran Malaysia ini.

"Selain rokok tembakau yang cuba diseludup dalam skala besar, sindiket mula dikesan aktif menyeludup komponen dan e-vaporiser atau rokok elektronik ke negara jiran susulan mendapat permintaan tinggi di republik itu.

"Berdasarkan siasatan, sindiket turut kerap menyeludup rokok elektronik pakai buang dan pod isian semula bersama rokok tembakau," katanya.

Dalam kes terbaru Selasa lalu, ICA menumpaskan cubaan menyeludup e-vaporiser atau rokok elektronik yang disembunyikan dalam ruangan khas serbuk dan cecair pencuci pakaian dibawa sebuah lori dari Malaysia.

Sebanyak 78,863 rokok elektronik dan pod selain 380 karton komponen rokok elektronik bernilai jutaan ringgit dirampas.

Pada hari sama, ICA di Pusat Pemeriksaan Woodlands turut mematahkan cubaan menyeludup rokok tembakau yang disembunyikan di dalam lori membawa muatan tepung gandum.

Sebanyak 3,300 karton rokok yang tidak dibayar cukai ditemui dan dirampas pihak berkuasa ICA,

Pada 30 Jun lalu, ICA turut menumpaskan cubaan menyeludup 11,140 rokok elektronik atau vape yang disembunyikan di ruangan khas diubah di dalam treler dari Malaysia.

Bagi mengaburi kegiatan, sindiket menggunakan lori asal Malaysia yang membawa muatan cecair pelincir kenderaan.

Pemandu tak tahu barang dibawa

Johor Bharu: Jangan hanya salahkan pemandu lori sebaliknya pihak berkuasa di kedua-dua negara perlu mengesan dan menahan pembekal serta penerima rokok seludup.

Pengasas Persatuan Pemandu Lori Negeri Johor, Mohd khairuddin Ismail berkata, kebanyakan transporter (pemandu lori atau treler) yang membawa rokok seludup ke negara jiran itu tidak mengetahui barangan salah dibawa.

Menurutnya, hanya segelintir pemandu lori yang sanggup diupah dan mengambil risiko membawa muatan seludup itu.

"Bagi pemandu lori yang sudah biasa dengan perjalanan Malaysia-Singapura, mereka mungkin sudah dapat menghidu jika ada barangan seludup dibawa. Ada juga yang tahu, namun sanggup menempah bala sekiranya dibayar.

"Kebanyakan rokok seludup ini disorokkan di bahagian tertentu pada lori menyebabkan pemandu tidak tahu. Jadi untuk berlaku adil, pihak berkuasa di Singapura patut melepaskan lori itu sebagai [umpan' untuk menjejaki penerimanya," katanya ketika dihubungi.

Dia berkata, sudah beberapa kali menyaksikan pemandu lori Malaysia ditahan di pintu masuk Singapura kerana membawa rokok seludup.

"Jika tiada permintaan di pihak sana (Singapura) maka tiada rokok seludup dibawa masuk. Jadi pihak berkuasa kena berlaku adil, tangkap juga penerima di negara itu kemudian jejak juga pembekal dari Malaysia.

"Saya sendiri pernah ditawarkan bawa rokok seludup namun menolaknya selepas dapati bayaran yang diberikan agak mencurigakan," katanya.

Untung berlipat kali ganda

Kuala Lumpur: Harga purata sekotak rokok sah dijual di Singapura adalah dolar Singapura (SGD) $16 (RM54) berbanding (SGD) $4 (RM13) hingga (SDG) $7 (RM24) bagi rokok seludup.

Perbezaan jauh ini menyebabkan sindiket mengambil peluang melipat gandakan usaha menyeludup rokok bagi memenuhi pasaran dan permintaan terutama dalam kalangan pekerja warga asing.

Meskipun kawalan keselamatan diperketatkan pihak berkuasa di kedua-dua negara namun sindiket penyeludupan rokok ke Singapura masih tegar menjalankan kegiatan berkenaan kerana ia mampu menjana pulangan lumayan.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Zazuli Johan berkata, disebabkan faktor itu, sindiket sentiasa mencari pasaran baharu dan mencuba pelbagai taktik bagi menyeludup rokok secara haram ke negara berkenaan.

"Rokok (seludup) adalah salah satu komoditi menjanjikan pulangan yang lumayan. Ini adalah disebabkan faktor cukai atau duti yang tinggi dikenakan terhadap komoditi ini.

"Disebabkan faktor ini, sindiket akan sentiasa berusaha untuk mendapatkan pasaran baru untuk dikembangkan serta sering mengubah modus operandi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata, faktor geografi Malaysia berkemungkinan menyebabkan sindiket menjadikan Malaysia sebagai laluan perdagangan rokok seludup dan transit.

"Rokok yang diseludup menggunakan kapal ini akan dipecah pukal untuk dipasarkan di seluruh Malaysia termasuk juga Singapura.

"Kos pengangkutan darat yang lebih murah dan sukar dikesan berkemungkinan menjadi faktor utama (aktiviti penyeludupan) selain 'tarikan' keuntungan berlipat kali ganda," katanya.

Mengulas mengenai modus operandi, Zazuli berkata, walaupun sudah ramai 'transporter' (pemandu lori) yang kecundang ketika cuba membawa rokok seludup ke Singapura namun sindiket tidak serik dengan mencuba pelbagai modus operandi baru.

"Modus operandi berkaitan kegiatan penyeludupan (rokok) lebih tertumpu kepada membuat pengisytiharan palsu (kepada pihak kastam) dan ia diseludup bersama dagangan lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Selain itu sindiket gemar menggunakan modus operandi dengan menyembunyikan rokok seludup di bahagian ruangan khas diubahsuai pada kenderaan yang digunakan untuk tujuan penyeludupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 12:00 PM