ANTARA kenderaan mewah yang digunakan sindiket untuk menyeludup e-rokok serta cecair vape.
ANTARA kenderaan mewah yang digunakan sindiket untuk menyeludup e-rokok serta cecair vape.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ahmad Hasbi


Kuala Lumpur: Bukan hanya lori atau treler, malah puluhan kenderaan mewah turut digunakan sindiket tempatan bagi tujuan menyeludup rokok elektronik (e-rokok) atau cecair vape nikotin ke Singapura.

Berdasarkan tangkapan dan rampasan dilakukan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) terhadap mendapati pelbagai model kenderaan mewah antaranya Mercedes Benz, BMW, Audi selain kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire.

Sumber berkata, sindiket mungkin beranggapan kenderaan mewah ini lebih mudah untuk melepasi pemeriksaan di pintu sempadan negara berbanding kereta model biasa.

"Mungkin sindiket berasakan 'status' sebagai orang kaya yang memandu kenderaan mewah 'dihormati' di mata penguat kuasa. Kerana itu mereka memilih pelbagai model kenderaan mewah untuk melakukan kerja penyeludupan e-rokok dan cecair vape.

"Kebiasaannya kenderaan mewah ini dibawa ke bengkel khas bagi tujuan ubah suai beberapa bahagian komponen terutama di but kenderaan, pintu, tempat duduk, papan pemuka, lantai dan tempat penyimpanan tayar ganti," katanya.

Menurutnya, bungkusan kotak mengandungi e-rokok, cecair vape atau rokok seludup dimasukkan ke bahagian sulit berkenaan sebelum ia dipateri, dilekatkan atau ditutup semula dengan lapisan asal.

"Bagaimanapun, kelengkapan alat pengimbas X-ray berteknologi tinggi milik ICA mampu mengesan taktik digunakan itu. Ia terbukti susulan rampasan demi rampasan produk e-rokok dan cecair vape dilakukan hampir setiap minggu," katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh, pihak berkuasa Singapura baru-baru ini merampas 792 e-rokok diseludup dari Malaysia menggunakan kereta mewah Audi.

Turut dirampas 3,093 pod isi semula e-rokok yang turut cuba diseludup menggunakan kereta Audi selain 4,000 e-rokok dan 3,120 pod isi semula e-rokok disembunyikan dalam kereta mewah model Mercedes Benz.

"Manakala pada 23 November tahun lalu, sindiket menggunakan kereta Audi untuk menyeludup 2,700 pod isi semula e-rokok selain 100 e-rokok pakai buang. Rampasan sama turut dilakukan terhadap 145 produk e-rokok disembunyikan di bawah tempat duduk dan lantai kenderaan MPV Toyota Vellfire," katanya.

Sabtu lalu Harian Metro mendedahkan kegiatan sindiket penyeludupan yang semakin aktif menyeludup e-rokok dan cecair vape nikotin ke negara jiran.

Sindiket itu dikesan menjana 'ekonomi gelap' mencecahkan pendapatan puluhan juta ringgit setahun hasil aktiviti penyeludupan skala besar rokok (e-rokok) dan cecair vape nikotin ke republik Singapura serta Thailand.

Sorok cecair nikotin di kepala lori

Produk rokok elektronik (e-rokok) atau cecair vape nikotin yang diseludup ke negara jiran dikesan kerap disembunyikan di bahagian kepala lori atau dipanggil sebagai 'Prime Mover'.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, kebiasaannya produk e-rokok dan cecair vape yang tidak diikrar eksport kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) disembunyikan dalam kuantiti kecil.

Menurutnya, sindiket turut gemar menggunakan modus operandi dengan menyembunyikannya dalam kerusi penumpang atau but kenderaan.

Di samping itu, jelas beliau, pemeriksaan kerap dilakukan JKDM bersama agensi lain seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 12:30 PM