PENYELUDUPAN e-rokok dan cecair nikotin ke Singapura dan Thailand meningkat mendadak sejak dua tahun kebelakangan ini.
PENYELUDUPAN e-rokok dan cecair nikotin ke Singapura dan Thailand meningkat mendadak sejak dua tahun kebelakangan ini.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Jana 'ekonomi gelap' mencecahkan pendapatan puluhan juta ringgit setahun hasil aktiviti penyeludupan skala besar rokok elektronik (e-rokok) dan cecair vape nikotin ke republik Singapura serta Thailand.

Jenayah terancang black market atau shadow economy didalangi sindiket tempatan ini semakin rancak dilakukan kebelakangan ini apabila mereka dikesan menggunakan kenderaan perdagangan, kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah, bas atau bot untuk menyeludup masuk dagangan haram berkenaan.

Keuntungan besar menjangkau lebih tiga kali ganda berdasarkan tukaran mata wang asing Dollar Singapura dan Thai Bath menyebabkan sindiket jenayah penyeludupan ini sanggup mengambil risiko termasuk mengeluarkan modal besar untuk mengubah suai kenderaan digunakan bagi penyeludupan.

Sumber berkata, peningkatan kes penyeludupan e-rokok dan cecair nikotin ke Singapura dan Thailand meningkat mendadak sejak dua tahun kebelakangan ini.

Ini dibuktikan susulan peningkatan rampasan dilakukan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura di pintu sempadan selatan tanah air selain berpuluh siri rampasan Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan pasukan rondaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sempadan utara Malaysia.

"Jika dahulu sindiket Malaysia aktif menyeludup daun ketum, tembakau kunyah dan rokok putih ke negara jiran namun kini mereka beralih arah kepada e-rokok serta cecair vape nikotin.

"Buktinya Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mengesahkan jumlah kes rampasan alat e-rokok dan cecair vape meningkat dengan amat ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kebanyakan alatan itu yang diseludup dari luar negara termasuk Malaysia ini menjadi pilihan golongan belia dan pelajar sekolah yang menganggap ia pengganti lebih sihat berbanding rokok.

"Berdasarkan perangkaan, HSA terbabit dengan 7,593 kes rampasan e-rokok pada tahun 2021 berbanding 2,477 kes pada 2019.

"Kerajaan Singapura benar-benar memandang serius isu vape apabila sebanyak 6,500 alat pengewap, 83,500 pod dan 8,000 cecair vape seberat lebih 1 tan bernilai RM3.7 juta yang dirampas sepanjang 2021 dibakar di Loji Pembakaran Selatan Tuas baru-baru ini," katanya.

Menurutnya, adalah menjadi satu kesalahan menjual, memiliki untuk dijual, mengimport atau mengedar alat pengewap dan komponen vape di Singapura.

"Sesiapa yang disabit kesalahan boleh didenda sehingga Dollar Singapura 10,000 (RM32,800) dan dihukum penjara sehingga enam bulan.

"Hukuman terhadap kesalahan memiliki dan menggunakan alat pengewap vape adalah denda mencecah Dollar Singapura 2,000 (RM6,500)," katanya.

Menurutnya, ketika ini pihak HSA bekerjasama rapat dengan ICA bagi mengesan penyeludupan masuk e-rokok dan cecair vape dilakukan sindiket dari Malaysia.

"Walaupun pelbagai taktik digunakan bagi menyembunyikan komoditi haram itu namun pihak berkuasa sempadan meningkatkan kewaspadaan dibantu alat pengimbas X-ray teknologi tinggi.

Bagi memantapkan operasi penguatkuasaan, HSA turut bekerjasama dengan platform dalam talian seperti Instagram, Facebook dan Carousell bagi memadamkan status berkaitan penjualan vape.

"Berbanding denda tinggi dan hukuman penjara di Singapura, Thailand turut mengenakan hukuman berat penjara maksimum 10 tahun kepada penyeludup vape. Begitu juga Filipina yang mengenakan hukuman 4 bulan penjara," katanya.

Menurutnya, tindakan berterusan pihak berkuasa termasuk Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas cecair vape nikotin di negara ini menyebabkan sindiket mencari pasaran baru untuk menjualnya.

Guna lori ikan seludup cecair vape

'Otak' licik penjenayah apabila sindiket penyeludupan rokok elektronik (e-rokok) dan cecair vape nikotin tempatan aktif menggunakan lori membawa muatan ikan atau sayur-sayuran, treler pengangkut konkrit, bas kilang serta kenderaan mewah untuk melepasi pemeriksaan di pintu sempadan negara.

Malah sindiket turut dikesan melakukan pengubahsuaian khusus terhadap lori membawa ratusan ayam hidup serta makanan sejuk beku bagi menyembunyikan e-rokok dan cecair vape nikotin di ruangan rahsia dibina.

Terbaru, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura berjaya mematahkan cubaan menyeludup produk diharamkan itu menggunakan bas kilang didaftarkan di Malaysia.

Rampasan sama turut dilakukan terhadap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) model Toyota Vellfire yang dikesan cuba menyeludup 145 produk e-rokok disembunyikan di bahagian dalam pintu dan lantai kenderaan.

Hasil penggunaan alat imbasan X-ray. petugas ICA turut merampas 2,600 e-rokok dan 27,006 pod e-rokok yang cuba diseludup menggunakan lori membawa makanan nuget dari Malaysia pada 17 November lalu.

Semua produk e-rokok itu yang dianggarkan bernilai RM30,000 dikesan disembunyikan ruangan sulit dibina di beberapa bahagian lori sejuk beku itu.

Pada 29 Oktober lalu, pihak ICA turut menumpaskan cubaan menyeludup 1,260 e-rokok dan pelbagai alatan serta cecair vape yang cuba diseludup menggunakan kenderaan mewah. Turut ditahan sebuah lori membawa ayam hidup dari Malaysia yang digunakan sindiket untuk menyeludup 163 karton rokok.

Semua rokok itu disorokkan di dalam kotak pembesar suara dan tilam di dalam lori berkenaan.

Malah sepanjang Ogos lalu, pihak berkuasa Singapura turut menahan kereta, lori dan bas pelancong yang digunakan sindiket bagi menyeludup pelbagai produk e-rokok dan rokok seludup ke negara berkenaan.

Rampasan turut dilakukan polis Johor kelmarin apabila tiga individu termasuk seorang wanita ditahan sebelum polis merampas 2,753 kotak cecair vape dan e-rokok bernilai RM1.55 juta di sebuah premis Jalan Eco Perniagaan 1/2, Taman Eco Perniagaan, Johor Bahru.

Dalam serbuan itu, polis merampas 53,421 pek yang mengandungi pelbagai jenis cecair vape bernilai RM1.29 juta serta peranti dan aksesori vape berjumlah RM253,048.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 12:00 PM