TUNKU Ismail Sultan Ibrahim. FOTO Bernama
TUNKU Ismail Sultan Ibrahim. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kelab bola sepak di negara ini seharusnya mempunyai 'Financial Fair Play' (FFP) bermula tahun depan dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat pada masa akan datang.

Cadangan itu diutarakan oleh pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) supaya pasukan bola sepak di negara ini turut mengutamakan pembangunan bakat akar umbi.

Menerusi satu komen beliau di laman instagram bola sepak, malaysiafootballleague susulan kerjasama yang dijalin Kuala Lumpur (KL) City FC dengan kelab La Liga, Cadiz CF turut menyatakan kelab di negara ini tetap perlu usahakan sendiri aspek lain termasuk dana, pembangunan akar umbi dan infrastruktur.

"PJ City (Petaling Jaya City) jalin kerjasama dengan Manchester City, di mana PJ City pada hari ini? Saya sudah berkerjasama dengan banyak kelab Dortmund, Juventus, City Group, Valencia dan Saporro dari Japan.

"Tetapi kami hanya berkongsi kepakaran, pembangunan dan perancangan sahaja. Kelangsungan kelab, strategi komersial, duit, pembangunan akar umbi dan infrastruktur semua kena buat sendiri.

"Tiada orang akan tolong kita. Sebab itu saya cadangkan tahun depan FAM dan MFL untuk melaksanakan 'financial fair play' dan setiap pasukan mesti ada program akar umbi, wajib.

"(Ia) untuk kawal pasukan berbelanja ikut kemampuan, jadi tiada lebihan perbelanjaan dan tak bayar gaji pemain. Demi kelab untuk bertahan lama kerana tak semua kelab ada keistimewaan sapu duit kerajaan setiap tahun," tulisnya.

Mengikut rekod,sebelum ini, beberapa kelab berdepan isu tunggakan gaji hingga ada di antara mereka yang gagal mendapatkan lesen untuk beraksi dalam kancah saingan Liga Malaysia (Liga M).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 4:22 PM