FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Firdaus Hashim


Nafsu besar, kocek nipis

Kuala Lumpur: Biar papa asalkan bergaya! Pepatah ini amat sesuai bagi menggambarkan sikap segelintir pemilik kelab dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) yang memilih untuk mengikat pemain ternama ataupun import, sedangkan kocek pasukan nipis.

Menurut bekas pemilik sebuah kelab yang enggan dinamakan itu, beliau akui pernah tersilap strategi dengan mengikat ramai bintang ketika dana pasukan sebenarnya tidak mencukupi untuk bertahan hingga habis musim.

Katanya yang berstatus VVIP, untuk bersaing dalam dalam liga utama seperti Liga Super atau Liga Perdana (divisyen dua yang sudah dimansuhkan mulai musim ini), setiap pasukan memerlukan sekurang-kurangnya RM5 juta hingga RM10 juta setahun bagi menanggung kos operasi termasuk gaji pemain dan pegawai serta logistik pasukan.

Jelasnya, kesilapannya adalah apabila berbelanja kepada kos operasi sehingga 80 peratus (%) ke 90%. Ada segelintir pasukan termasuk kelab saya dulu berbelanja lebih had yang sepatutnya. Sebenarnya tak boleh belanja lebih daripada 70%.

"Kalau ikut pengalaman saya, gaji pemain sahaja dah 80% kerana mengambil pemain yang orang kata ada 'kelas'. Pemain import sebenarnya paling mahal tapi kalau tak ambil import, nanti penaja tak nak menaja pula.

"Jika tak ambik import, pasukan susah nak bersaing dan itu akan membuatkan penaja akan lari jugak. Malah, kadangkala ada juga dana yang dijanjikan oleh penaja sebelum bertanding kata nak bagi, tapi tiba-tiba ada yang menarik diri bila liga dah berjalan dan akhirnya dana tak cukup," katanya kepada Arena Metro.

Ditanya mengenai kewujudan 'Financial Fair Play' (FFP) dalam Liga M, beliau bersetuju jika ia dilaksanakan kerana setiap pasukan secara tidak langsung wajib mengikut garis panduan ditetapkan terutama dalam soal pengurusan kewangan.

"Ramai yang kata ukur baju pada badan sendiri, tapi persoalannya adakah orang yang bercakap itu pernah mengendalikan pasukan? Cakap memang senang, tapi kita yang ada pasukan sudah tentunya mahupun pulangan dan kejayaan…dan cara nak raihnya perlulah mempunyai barisan pasukan mantap.

"Tapi jika ada FFP ini saya kira pasukan sudah tak boleh berbelanja mengikut kemahuan sebaliknya perlu ikut bajet yang ada. Memang sekarang pun ada syarat dalam pelesenan kelab, tapi jika ada FFP ini ia lebih ketat dan MFL sendiri perlu lebih tegas dalam penguatkuasaan," katanya.

Untuk rekod, FFP adalah satu mekanisme kawalan ke atas perbelanjaan kelab untuk memastikan akaun kelab kekal sihat daripada hutang melampau. Di Eropah misalnya, Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menekankan dua elemen penting dalam FFP iaitu pertama, semua kelab wajib meletakkan paras gaji setiap pemain di bawah paras 70% daripada pendapatan kelab, di mana gaji pemain ini tertakluk di bawah hutang keseluruhan.

Manakala perkara kedua adalah hutang keseluruhan kelab hendaklah tidak melebihi 80% daripada pendapatan kelab bagi menjamin kelancaran pengurusan untuk sepanjang musim.

FFP mampu 'jaga' kewangan kelab

Demi kebaikan bola sepak tempatan khususnya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia menerima pelaksanaan 'Financial Fair Play' (FFP) atau kawalan kewangan jika ia dilihat perlu.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau menyambut baik saranan beberapa pihak termasuk Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu FFP diperkenalkan dalam Liga M bagi membendung isu tunggakan gaji dan menjamin kestabilan pasukan bertanding.

Begitupun Hamidin menyerahkan perkara terbabit kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menjawab lebih terperinci memandangkan saingan Liga M adalah di bawah kendalian MFL.

"Saya kira pandangan (melaksanakan FFP) yang diutarakan TMJ itu memang elok MFL (yang menjawab) sebab mereka badan pengelola untuk melihat benda itu seperti macam di Sepanyol.

"Saya ingat MFL boleh jawab itu. Kalau ia sesuai dengan Liga M apa salahnya," katanya sekali gus seolah memberi lampu hijau untuk ia dikaji dan diperhalusi.

Terdahulu menerusi laporan khas Arena Metro, kewujudan FFP dilihat mampu mengelak krisis lebih besar dalam saingan Liga M khususnya dalam aspek kemampanan kewangan pasukan bertanding.

Untuk rekod, FFP adalah satu mekanisme kawalan ke atas perbelanjaan kelab untuk memastikan akaun kelab kekal sihat daripada hutang melampau.

Ia juga untuk membantu kelab supaya lebih cekap dalam menguruskan perbelanjaan dan tidak mengikut emosi terutama dalam mengikat pemain.

Malah, kaedah berkenaan turut mendapat perhatian Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila mahu MFL dan FAM segera melaksanakan FFP dalam saingan Liga M selewat-lewatnya mulai musim depan.

Jelas TMJ, kewujudan FFP amat penting dalam memastikan kestabilan kelab dapat dikekalkan untuk tempoh yang panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 10:00 AM