Siti Rohana Idris


Tumpat: Tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di daerah ini terbabit menguruskan pengebumian 31 mangsa Covid-19, setakat ini.

Dua proses terbaharu dijalankan hari ini membabitkan wanita warga emas berusia 69 tahun di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelaboran disusuli jenazah lelaki sama usia di Kampung Geting.

Ketua BBP Pengkalan Kubor merangkap Penyelaras Operasi Covid-19 daerah Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail berkata, urusan pengebumian membabitkan empat anggota daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersama kakitangan kesihatan yang mengendalikan sepenuhnya operasi itu.

"Setiap kematian membabitkan pesakit Covid-19 akan dimaklumkan terus kepada saya untuk proses pengebumian dan tiga balai iaitu BBP Wakaf Bharu, Tumpat dan Pengkalan Kubor akan turut terbabit bagi lokasi perkuburan berhampiran dengan balai itu.

"Pada awalnya proses pengebumian agak sukar dan memakan masa, mungkin disebabkan masing-masing tiada pengalaman tapi sekarang proses itu hanya mengambil masa sekitar 10 hingga 15 minit sahaja.

"Setiap agensi terbabit sudah mahir dengan tugas masing-masing dan disebabkan itu proses pengebumian dapat berjalan lancar dan setakat ini tiada masalah dihadapi," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelaboran, hari ini.

Tinjauan dilakukan di sekitar tanah perkuburan itu mendapati beberapa ahli keluarga dilihat hanya mampu memandang dari jauh sambil merakamkan gambar atau video menerusi telefon bimbit untuk simpanan peribadi.

Empat anggota HAZMAT lengkap dengan sut Pakaian Perlindungan Diri (PPE) hadir setengah jam sebelum jenazah tiba pada 10.30 pagi dan mereka bertindak pantas dengan segera mengusung jenazah dan menurunkan ke liang lahad dengan dibantu kakitangan kesihatan.

Anggota bomba lain tidak melengahkan masa dengan segera membuat sanitasi terhadap peti memuatkan jenazah, liang lahad serta kawasan sekitar termasuk kenderaan jenazah digunakan.

Raja Arisan berkata, waris mangsa boleh memohon untuk mengiringi jenazah sehingga ke liang lahad dengan syarat mereka negatif wabak itu dan perlu memakai sut PPE.

"Biasanya ada ahli keluarga yang memohon untuk mengiringi jenazah kerana ada kalangan mereka ingin melihat proses pengebumian lebih dekat sebelum berdoa di tepi pusara.

"Ada mengadakan bacaan talkin tidak jauh dari pusara dan kami akan bersama sehingga selesai bagi keselamatan mereka," katanya.

Pasukan HAZMAT JBPM Kelantan bersama kakitangan kesihatan mengusung jenazah dan menurunkan ke liang lahad ketika proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelaboran. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pasukan HAZMAT JBPM Kelantan bersama kakitangan kesihatan mengusung jenazah dan menurunkan ke liang lahad ketika proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelaboran. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 4:59 PM