PUSAT karaoke di Bukit Bintang di sini yang diserbu polis, Ahad lalu. FOTO Ihsan PDRM
PUSAT karaoke di Bukit Bintang di sini yang diserbu polis, Ahad lalu. FOTO Ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Berhibur sambil ditemani pelayan pelanggan (GRO) mengikut pakej dipilih yang berharga mencecah puluhan ribu ringgit.

Taktik sebuah pusat karaoke di Bukit Bintang di sini, dipercayai bagi menarik pelanggan terbongkar selepas serbuan dilakukan Unit Pencegahan Maksiat, Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Ahad lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, serbuan 1.10 pagi itu berjaya menahan 161 GRO dan pekerja premis.

"Hasil pemeriksaan, 84 daripadanya adalah wanita warga asing dan 22 wanita tempatan yang disyaki bekerja sebagai GRO, manakala 55 orang lagi terdiri daripada pengurus, penjaga kaunter serta pekerja.

"Mereka yang berusia antara 18 hingga 46 tahun ditahan untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, pasukan serbuan turut memeriksa 336 pelanggan dengan enam daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Menurut Razarudin, polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya telefon bimbit, perakam video, modem, penghala (router), set karaoke dan minuman keras serta wang tunai RM3,862.

Kata beliau, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

"Berdasarkan siasatan, premis yang berkonsepkan pusat hiburan dan mempunyai 17 bilik karaoke itu menyediakan pakej bayaran bermula RM3,800 sehingga RM25,000.

"Pengusaha turut dikesan menyediakan GRO warga asing dan tempatan mengikut permintaan pelanggan dengan kadar bayaran ditetapkan," katanya.

Tambahnya, premis yang didapati tiada lesen sah dan menyalahgunakan lesen restoran dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu beroperasi dari 8 malam sehingga 6 pagi setiap hari.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati semua pengusaha pusat hiburan sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati menjalankan aktiviti terlarang.

PDRM akan menjalankan pemantauan berterusan bagi mengelak aktiviti terlarang yang berkemungkinan boleh berlaku disebabkan oleh pengunjung pusat hiburan dan memastikan ketenteraman awam terpelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 9:46 AM