Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Klang: Seramai 33 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan sepasukan polis dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Taman Desawan, Klang, awal pagi tadi.

Serbuan 1.15 pagi itu, dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perjudian, Maksiat, Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dan dibantu Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, selepas risikan selama beberapa hari.

Sumber berkata, dalam serbuan itu, semua GRO yang ditahan berusia lingkungan 20-an dikesan bekerja di premis hiburan berkenaan tanpa memiliki dokumen yang sah.

Menurut sumber, terdapat 100 pelanggan sedang berhibur dengan muzik yang kuat di dalam premis ketika serbuan dijalankan dan semua mereka dibebaskan selepas selesai proses dokumentasi.

"Semua GRO yang ditahan di bawa ke IPD Klang Selatan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)C Akta Imigresen serta Seksyen 39b Peraturan Imigresen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 9:53 AM