ANTARA yang ditahan dalam serbuan di pusat hiburan itu. FOTO ihsan PDRM
ANTARA yang ditahan dalam serbuan di pusat hiburan itu. FOTO ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kegiatan sebuah pusat hiburan beroperasi secara haram ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dengan menyajikan pelayan pelanggan wanita (GRO) warga asing dibongkar polis, semalam.

Serbuan pada 10.20 malam dilakukan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di premis beroperasi di Taman Shamelin Perkasa, di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, seramai 18 individu ditahan dalam serbuan itu.

"Mereka yang ditahan adalah seorang lelaki (penjaga premis), dua pekerja lelaki warga Bangladesh, sembilan wanita warga Vietnam dan Laos yang bekerja sebagai GRO serta enam pelanggan.

"Semakan mendapati kesemua warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Idzam berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas telefon bimbit dan pelbagai peralatan hiburan.

"Pasukan pemeriksaan kemudian mengeluarkan kompaun terhadap sembilan lelaki tempatan kerana terbabit aktiviti terlarang dalam tempoh PKP," katanya.

Malah, katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati 12 daripada keseluruhan individu yang ditahan itu positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, benzo dan ketamin.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 2:59 PM