Yuka Kharisma
Yuka Kharisma
Ramlah Zainal


Petaling Jaya: "Tuduhan itu tidak berasas. Kalau ia benar, kenapa polis tak cari saya?," kata penyanyi dan komposer, Yuka Kharisma ketika diminta mengulas dakwaan timbul masalah ketika dia menganjurkan konsert Romantic Night, Judika & The Gang, tahun lalu.

Yuka berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali dan perlu dihentikan dengan segera daripada terus diperkatakan orang.

"Sampai sekarang, saya masih diberi kepercayaan artis Indonesia untuk menganjurkan konsert. Orang boleh menilai, kalau saya bersalah, pasti saya sudah diambil tindakan," katanya.

Penyanyi kelahiran Indonesia itu berkata, dia memilih untuk menyelesaikan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan itu secara profesional.

"Kita ada undang-undang dan peguam. Saya lebih selesa kalau dakwaan yang mengaitkan nama saya ini ditangani secara profesional.

"Gosip dan khabar angin hanya mengganggu kerja saya. Saya tidak akan melayan khabar angin atau cerita palsu," katanya yang sudah menetap di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 2:17 PM