Mohd Rafi Mamat


Pekan: "Anak saya, Nik Nur Faqihah, 11, dan Nik Ikram Nuqman, 5, teringin makan aiskrim. Jadi mereka minta izin daripada isteri saya untuk keluar bersama abang, Nik Ikram Idwan, 15. Tak sangka itu permintaan terakhir sebelum saya kehilangan tiga anak serentak," kata Nik Mohd Khairul Hisyam Derahman, 41.

Nik Mohd Khairul Hisyam berkata, arwah Nik Nur Faqihah juga teringin makan ayam goreng dan ketika tiga beradik itu keluar membeli aiskrim, isterinya, Nur Baizura Mustaffa, 34, sedang menyediakan lauk ayam goreng.

Katanya, kali terakhir dia bertemu anaknya, Nik Ikram Nuqman pada pagi semalam sebelum ke tempat kerja di Kuantan selepas arwah terjaga daripada tidur kira-kira jam 5 pagi.

"Saya seolah tidak percaya apabila isteri menghubungi memberitahu tiga anak kami maut dalam kemalangan, namun apabila melihat gambar mereka, hati saya begitu sayu.

"Terlalu berat untuk menerima takdir ini namun saya reda. Ini ujian berat perlu saya dan isteri terima.

"Dalam sekelip mata tiga daripada lima anak saya meninggalkan kami tanpa disangka, terlalu berat ujian yang terpaksa saya dan isteri terima," katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari semalam, tiga beradik maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7, Jalan Benta-Lamir dekat Kampung Langgar di sini.

Nik Ikram Idwan, Nik Nur Faqihah dan Nik Ikram Nuqman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Nik Mohd Khairul Hisyam berkata, dia agak terkilan apabila tidak sempat membantu Nik Ikram Idwan meneruskan persekolahan selepas berpindah ke Kampung Langgar, Disember lalu kerana sebelum ini arwah belajar di Kemaman.

Katanya, arwah begitu teringin meneruskan persekolahan ke tingkatan tiga apabila membeli motosikal hasil wang simpanan, sebahagian pakaian dan peralatan sekolah juga sudah dibeli.

"Kejadian ini adalah sejarah hitam dalam hidup saya sekeluarga, terlalu sukar untuk diterima," katanya.

Berita berkaitan:
Pelukan kenangan terakhir bersama arwah

KEADAAN MPV dan motosikal yang menyebabkan tiga beradik maut di Pekan. FOTO ihsan polis
KEADAAN MPV dan motosikal yang menyebabkan tiga beradik maut di Pekan. FOTO ihsan polis

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 3:22 PM