Nur Alisha Qaisara Mohd Fadli Hisham, 5 tahun melihat gambar konvokesyen bapa saudaranya. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Nur Alisha Qaisara Mohd Fadli Hisham, 5 tahun melihat gambar konvokesyen bapa saudaranya. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Nurul Fatihah Sulaini


"ARWAH ada merancang untuk melangsungkan majlis perkahwinannya pada tahun hadapan, tetapi tidak kesampaian."

Begitu kata Nik Zah Mamat, 59, ibu Muhammad Hafiz Baharudin, 26, penghantar makanan yang maut selepas motosikal ditunggangi dirempuh pacuan empat roda di simpang lampu isyarat di Jalan Paip, Puncak Alam, Selangor pada 19 Mei lalu.

Nik Zah berkata, anak keenam daripada tujuh beradik itu pernah meluahkan hasrat berkahwin, tetapi menangguhkannya bagi memberi peluang kepada bakal pasangannya menamatkan pengajian.

"Kali terakhir arwah telefon pada pagi sebelum dia kemalangan. Seperti kebiasaannya, dia akan meminta maaf dan minta supaya sentiasa doakan dirinya.

"Dia ada beritahu tahun ini tidak boleh pulang berhari raya di kampung kerana perlu patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Nik Zah berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 oleh Skuad Perkeso Prihatin di rumahnya di Kampung Alor Keladi, Jertih, hari ini.

Penyerahan dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Putera.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Perkeso Terengganu, Norihan Ibrahim.

Nik Zah berkata, Allahyarham Muhammad Hafiz sering mengambil berat keadaan dirinya dan seorang berdikari sejak kecil.

"Selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Bina di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2018, dia bekerja di syarikat seni bina lanskap sehingga akhir tahun lalu sebelum berhenti," katanya.

Sementara itu, adik bongsu arwah, Nur Fadlin Syakira, 23, berkata abangnya pernah meluahkan kebimbangan kerana tidak dapat memberi wang bulanan seperti biasa kepada ibunya ketika musim PKP.

"Rupanya selepas pemergian arwah rupanya dia bagi lebih lagi pada ibu melalui Pencen Penakat Perkeso seumur hidup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 8:20 PM