Keadaan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan motosikal yang menyebabkan tiga beradik maut di Pekan. FOTO  ihsan PDRM
Keadaan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan motosikal yang menyebabkan tiga beradik maut di Pekan. FOTO ihsan PDRM
Asrol Awang


Pekan: Tiga beradik maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7, Jalan Benta-Lamir dekat Kampung Langgar di sini, hari ini.

Mangsa yang maut ialah Nik Ikram Idwan Nik Mohd Khairul Hisyam, 15, Nik Nur Faqihah, 11 dan Nik Ikram Nuqman, 5 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala, pemandu MPV jenis Nissan Serena dan enam penumpang lain berumur antara tiga dan 65 tahun termasuk tiga daripadanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, berdasarkan laporan, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Katanya, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu MPV bersama enam penumpang dalam perjalanan dari arah Taman Jambu, Pekan menghala ke Kuantan.

"Penunggang dan dua pembonceng dalam perjalanan dari arah Kampung Lamir menghala ke Kampung Langgar.

"Apabila tiba di tempat kejadian motosikal yang ditunggangi Nik Ikram Idwan dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung MPV yang datang dari arah hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 5:32 PM