NIK Muhamad Azuddin. FOTO Ihsan Nik Suhaila
NIK Muhamad Azuddin. FOTO Ihsan Nik Suhaila
Suraya Roslan


“ARWAH adik sempat membalas WhatsApp daripada abang ipar saya tiga minit sebelum kejadian dipercayai akibat langgar lari.

“Agak pelik kalau arwah jatuh sendiri kerana dia mengalami kecederaan teruk apabila pecah kepala, patah tulang leher dan rusuk serta retak tangan,” kata Nik Suhaila Nik Razali, 40.

Nik Suhaila yang juga kakak kepada arwah Nik Muhamad Azuddin Nik Razali, 19, memberi penjelasan itu selepas mangsa dipercayai dilanggar lari di Jalan Bukit Awi berdekatan sebuah stesen minyak Taman Bersatu, Kulim, Kedah, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku 10.35 malam ketika mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dari tempat kerja di sebuah kedai haiwan peliharaan di Kulim Avenue, dalam perjalanan pulang ke Simpang Ampat, Seberang Prai, Pulau Pinang.

Status Nik Suhaila menjadi tular di Facebook yang meminta orang ramai yang juga saksi kejadian supaya tampil agar siasatan dapat dijalankan oleh pihak polis sekali gus memberi keadilan buat adik lelakinya itu.

“Semalam adalah hari pertama adik bekerja di kedai kami selepas usahanya datang dari kampung untuk mencari tempat praktikal gagal.

“Arwah keluar dari kedai 10.10 malam dan saya sempat menitipkan pesanan supaya berhati-hati menunggang motosikal untuk ke rumah seorang lagi kakak di Seberang Prai.

“Malah, arwah sempat membalas WhatsApp abang ipar saya dengan menjawab ‘Ok’ pada 10.32 malam dipercayai tiga minit sebelum kejadian,” katanya kepada Harian Metro.

Nik Suhaila berkata, adiknya datang ke Kulim untuk mencari tempat praktikal selepas belajar di Kolej Vokasional Tanah Merah, Kelantan.

“Tetapi, tiada tempat praktikal yang sesuai untuk kemahiran adik dalam membaiki penghawa dingin, jadi saya dan suami tawarkan arwah untuk bekerja di kedai haiwan kami terlebih dulu.

“Kira-kira 10.50 malam, saya menerima panggilan daripada polis meminta ke Hospital Kulim, namun dia tidak memberitahu keadaan adik saya sehinggalah saya tiba di hospital dan dimaklumkan adik sudah meninggal dunia.

“Arwah adik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Labok, Machang, Kelantan 12.15 tengah hari, hari ini,” katanya.

Katanya, dia mengharapkan keadilan buat adiknya sekiranya betul arwah dilanggar lari kerana berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa pelbagai kemungkinan boleh berlaku bersandarkan kecederaan arwah.

“Kamera litar tertutup di tempat kejadian juga tiada dalam jangkauan lokasi kejadian adik dilanggar.

“Malah, ahli keluarga perasan 10 hari sebelum kejadian arwah lebih ceria dan banyak berbual, tidak seperti kebiasaan,” katanya.

Arwah Nik Muhamad Azuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Labok, Machang. FOTO Ihsan Nik Suhaila
Arwah Nik Muhamad Azuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Labok, Machang. FOTO Ihsan Nik Suhaila

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 4:16 PM