KHAIRUL Hisyam Derahman (tengah) dan isterinya, Nur Baizura Mustaffa sedih selepas kehilangan tiga anak serentak. FOTO Mohd Rafi Mamat
KHAIRUL Hisyam Derahman (tengah) dan isterinya, Nur Baizura Mustaffa sedih selepas kehilangan tiga anak serentak. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Pekan: "Dia peluk dan menyatakan dia rindu pada saya selepas seminggu tidak bertemu," kata Syarifah Hasnah Syed Noh, jiran kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7, Jalan Benta-Lamir dekat Kampung Langgar di sini, semalam.

Menurut Syarifah Hasnah, 59, dia bertemu dengan Nik Nur Faqihah Nik Mohd Khairul Hisyam, 11, pada Jmaat lalu.

"Arwah amat rapat dan manja dengan saya, dia (arwah) memanggil saya 'Umi'," katanya.

Menurutnya, arwah adalah seorang kanak-kanak yang cerdik, bijak dan pandai berdikari serta ramah, menghormati orang tua serta mudah mesra.

Katanya, mereka tinggal berjiran lebih setahun lalu selepas keluarga berkenaan berpindah ke situ, sebelum ini mereka menetap di Kemaman, Terengganu.

Selain Nik Nur Faqihah, abangnya, Nik Ikram Idwan, 15, dan adiknya, Nik Ikram Nuqman, 5, turut meninggal dunia dalam kejadian itu.

Seorang lagi jiran mangsa, Mohd Ansori Ishak, 78, berkata, Nik Nur Faqihah dan Nik Ikram Nuqman tiga kali datang ke rumah untuk bertemu dan bermain dengan cucu yang sebaya dengannya.

"Sebagai jiran, kehilangan tiga beradik itu amat terasa apabila kami berjiran selepas keluarga terbabit berpindah ke Kampung Langgar lebih setahun lalu.

"Arwah dua beradik selalu datang ke rumah saya, Nik Nur Faqihah seorang kanak-kanak yang ceria dan mudah mesra," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 4:35 PM