SUSPEK yang ditahan bersama dadah yang dirampas pihak berkuasa.
SUSPEK yang ditahan bersama dadah yang dirampas pihak berkuasa.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: 'Raja' kartel dadah Indonesia yang diberkas polis Johor, baru-baru ini dipercayai menggunakan taktik menyembunyikan beratus kilogram dadah syabu di dalam muatan kelapa tua ketika diseludup ke negara itu.

Suspek bernama Marno yang mempunyai rangkaian hubungan dengan sindiket dadah di Malaysia berjaya ditahan Polis Johor hasil kerjasama dengan pihak polis negara jiran itu.

Sumber berkata, Marno dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah syabu atau methamphetamine seberat 411 kilogram (kg) yang dirampas Polis Riau, Indonesia, baru-baru ini.

"Suspek yang amat dikehendaki oleh pihak polis negara jiran dikesan melakukan jenayah itu dengan turut dibantu anak dan isterinya.

"Bagaimanapun rangkaian sindiket dadah itu dapat dilumpuhkan sepenuhnya selepas anak dan isterinya ditahan di Dumai, Indonesia sebaik pulang 'bercuti' dari Malaysia," katanya,

Difahamkan Polis daerah Riau sebelum ini berjaya merampas 290kg methamphetamine semasa operasi awal tahun ini termasuk 121kg methamphetamine pada 2022 yang dikaitkan dengan kumpulan pengedaran dadah Marno.

"Kesemua dadah syabu yang boleh menjangkau harga melebih RM50 juta itu adalah dadah berasal dari Malaysia yang diseludup Marno untuk pasaran besar Indonesia.

"Selain itu rampasan dadah syabu seberat 276kg di Pekanbaru, Indonesia pada Januari lalu turut dikaitkan dengan sindiket dadah Marno.

"Penahanan itu adalah bukti kerjasama erat antara Polis Malaysia dan Polis Riau dalam menangani sindiket pengedaran dadah rentas sempadan," katanya.

Pada 7 Mei lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan kejayaan polis Johor melumpuhkan sindiket pengedaran dadah susulan penahanan lima lelaki termasuk seorang warga asing selain merampas dadah seberat 82.47kg bernilai lebih RM3.4 juta.

Ia susulan serbuan di sebuah rumah yang dijadikan rumah inap di Pontian, Johor.

Sebanyak 62 paket syabu seberat 64.89kg bernilai RM2,141,667 serta 58,626 biji pil ekstasi seberat 17.58 kilogram dirampas.

Lima lelaki yang ditahan itu berusia antara 23 hingga 53 tahun iaitu empat daripadanya warga tempatan dan seorang warga asing dengan dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 7:05 AM