Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Rampas syabu cuba diseludup, kemudian jual semula untuk pasaran Indonesia.

Itu modus operandi sindiket pengedaran dadah didalangi seorang penjawat awam agensi penguat kuasaan berusia 37 tahun bersama lapan lagi penjawat awam agensi sama dan seorang nelayan.

Bagaimanapun, kegiatan 10 lelaki berusia 33 hingga 49 tahun itu terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Johor melancarkan tiga serbuan di Johor dan Putrajaya pada 6 Mac hingga 8 Mac lalu membabitkan nilai rampasan dadah dan sitaan RM388,825.78.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket itu merampas 50 kilogram (kg) dadah disyaki syabu yang dipercayai mahu dihantar kepada pengedar di kawasan Utara Semenanjung dalam satu operasi di perairan Selat Melaka.

Beliau berkata, sindiket itu kemudian menjalinkan kerjasama bersama sindiket bergerak aktif di Banting, Selangor untuk menyeludup dadah itu ke pasaran di Dumai, Indonesia.

"Hasil serbuan itu, polis merampas dadah syabu seberat 5.37kg bernilai RM193,590 dan mereka didapati mula aktif sejak Februari lalu.

"Saringan awal mendapati empat penjawat awam itu positif dadah Methamphetamine dan kesemua mereka tidak mempunyai rekod lampau," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman kepada Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman. FOTO ASWADI ALIAS
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman kepada Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman. FOTO ASWADI ALIAS

Ayob berkata, tindakan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan polis menyita aset sindiket iaitu empat kenderaan Honda CRV, Honda HRV, Toyota Vios dan Perodua Aruz bernilai RM190,000 serta akaun bank bernilai RM5325.78.

Beliau berkata, nilai pasaran syabu di Indonesia agak mahal mencecah RM100,000 sekilogram menyebabkan ada sindiket cuba menyeludupnya ke sana.

"Suspek direman dua minggu bermula 7 Mac lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Penjawat awam yang ditahan itu terdiri pelbagai pangkat, ada pegawai dan sebagainya.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terbabit dalam pengedaran dadah dan siasatan diteruskan bagi mengesan saki baki sindiket ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 2:47 PM