ALLAHYARHAM Muhammad Faiz disyaki mangsa langgar lari meninggal dunia selepas tiga hari bertarung nyawa di ICU Hospital Pakar Sultanah Fatimah. FOTO Ali Iqbal
ALLAHYARHAM Muhammad Faiz disyaki mangsa langgar lari meninggal dunia selepas tiga hari bertarung nyawa di ICU Hospital Pakar Sultanah Fatimah. FOTO Ali Iqbal
Ali Iqbal


Muar: "Adik sudah tiada dan saya berharap pelaku muncul," kata Azry Een-Shezliana Ayob, 25, kakak kepada Allahyarham Muhammad Faiz, 21, disyaki mangsa langgar lari yang menghembus nafas terakhir semalam selepas tiga hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini.

Remaja terbabit disahkan meninggal dunia pada jam 8 malam akibat kecederaan dalaman selain luka di kaki selepas motosikal dinaiki disyaki dirempuh sebuah kereta jenis Perodua berwarna ungu gelap.

Azry berkata, selepas kemalangan berlaku pada petang Isnin lalu, tiada seorang pun dapat mengecam nombor pendaftaran, malah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga tidak dapat membantu mengesan kereta itu.

"Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi cuma terkilan kerana pelaku sampai sekarang tidak muncul. Kami bukan mahu mencari gaduh, tetapi sekurang-kurangnya dia datang menjenguk walaupun adik saya sudah tiada.

"Pada hari kejadian, ada seorang saksi nampak adik dirempuh dan terpelanting tepi jalan raya tetapi dia tidak sempat mengecam nombor pendaftaran kerana mahu memberi bantuan," katanya ketika ditemui.

Menurut Azry, pada hari kejadian, adiknya masih mampu bercakap dan sempat memberitahu dia mengalami kesakitan di dada.

"Doktor kemudian membawanya ke ICU sebelum dia ditidurkan, malam tadi (semalam) kami dimaklumkan adik sudah tiada," katanya.

Dalam kejadian jam 3 petang, Muhammad Faiz menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dari arah Paya Panjang menghala ke pekan Bukit Pasir, dirempuh sebuah kereta tetapi pemandunya terus melarikan diri.

Kemalangan itu menyebabkan Allahyarham parah di dada dan dimasukkan ke ICU.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, nombor pendaftaran dan motosikal ditunggang mangsa akan dihantar ke forensik dalam usaha untuk mengesan pelaku.

Katanya, langkah itu dibuat memandangkan tidak ada saksi yang nampak bagaimana kemalangan itu berlaku.

"Kami masih menjalankan siasatan dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 3:10 PM