LOKASI mangsa terjatuh ketika cuba disamun dua lelaki bermotosikal di Lebuh Mahsuri, Bayan Baru. FOTO Ihsan PDRM
LOKASI mangsa terjatuh ketika cuba disamun dua lelaki bermotosikal di Lebuh Mahsuri, Bayan Baru. FOTO Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini


WANITA yang juga penjual nasi tidak sedarkan diri akibat cedera selepas terjatuh dalam cubaan samun dua lelaki bermotosikal di Lebuh Mahsuri, Bayan Baru, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, mangsa berusia 60 tahun yang berseorangan sedang berjalan kaki ke rumah rakannya terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, ketika mangsa berjalan kaki beberapa meter dari tempat letak kereta, dua lelaki menaiki sebuah motosikal cuba meragut beg tangannya.

“Suspek gagal mendapatkan beg tangan mangsa, namun wanita berkenaan jatuh ke lantai dalam keadaan tertiarap.

“Dua saksi yang juga rakan mangsa berada di kawasan itu, namun gagal mengecam jenis dan nombor pendaftaran motosikal dinaiki suspek,” katanya.

Katanya, kawasan itu gelap dan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

“Mangsa yang tidak sedarkan diri menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Tiada kecederaan luaran dialami mangsa dan doktor percaya wanita berkenaan mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala,” kataya.

Menurutnya, sehingga petang tadi, mangsa masih belum sedarkan diri selepas menjalani pembedahan di kepala.

Katanya, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 9:35 PM