Lizam Ridzuan


CARA mengukur nombor pendaftaran ikut spesifikasi.
CARA mengukur nombor pendaftaran ikut spesifikasi.

PENGGUNAAN nombor pendaftaran kenderaan yang standard dilihat tidak begitu popular kerana ramai pengguna menukar kepada bentuk yang 'fancy' untuk lebih gaya.

Ramai yang mendakwa, ia sepatutnya bukan tumpuan dalam penguatkuasaan dan sepatutnya penguat kuasa perlu fokus kepada kesalahan lain.

Namun, ia sebenarnya penting dan sekiranya bentuk nombor pendaftaran ditukar kepada bentuk lain, ia bukan sahaja mengelirukan malah sukar untuk dibaca.

Ketua Penolong Jurutera, Timbalan Ketua Bahagian Kejuruteraan

Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ts Ramansyah Syamsuddin berkata, berdasarkan Akta Nombor Pendaftaran Kenderaan dinyatakan dalam Kaedah 5, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959, pemaparan nombor pendaftaran di bahagian hadapan serta belakang perlulah menegak.

"Nombor pendaftaran ini perlu mudah dilihat pada siang hari pada jarak kira-kira 18 meter untuk motosikal dan kira-kira 23 meter untuk kenderaan lain.

"Pada waktu malam pula, untuk motosikal, ia perlu boleh dilihat pada jarak kira-kira 15 meter. Untuk kenderaan lain pula, kira-kira 18 meter," katanya.

NOMBOR pendaftaran motosikal standard.
NOMBOR pendaftaran motosikal standard.

Menurut beliau, ada dua bentuk penyusunan huruf dan nombor iaitu sama ada huruf pada bahagian atas dan nombor di bawah atau huruf dan nombor selari.

Selain itu, setiap huruf dan nombor, spesifikasi ukuran juga perlu diikuti. Saiznya juga berbeza dan ia bergantung sama ada kenderaan atau motosikal.

Katanya, untuk kenderaan, saiz ketinggian huruf dan nombor ialah 70 milimeter (mm), ketebalan (10mm), kelebaran (40mm) dan jarak antara huruf dan nombor ialah 30mm manakala jarak antara nombor ialah 10mm.

Untuk motosikal, kelebaran huruf ialah 30mm, ketinggian (40mm), jarak setiap nombor dan huruf (5mm) dan jarak antara nombor dan huruf ialah 10mm. (Rujuk infografik).

"Selain itu, di bawah Seksyen 14, Akta Pengangkutan Jalan 1987, nombor pendaftaran hendaklah dipamer mengikut ukuran yang ditetapkan.

NOMBOR tidak ikut spesifikasi.
NOMBOR tidak ikut spesifikasi.

"Ia juga hendaklah tidak mengelirukan, mudah dibaca atau dicam semasa kenderaan sedang bergerak.

"Jika gagal mematuhinya, individu berkaitan boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak melebihi RM3,000," katanya.

Selain saman, kenderaan berkaitan juga boleh diarahkan untuk membuat pemeriksaan di JPJ.

Sebelum itu, pemilik perlu menukar nombor pendaftaran mengikut standard atau spesifikasi yang ditetapkan dan pegawai JPJ akan memeriksa kenderaan terbabit sebelum diberi kebenaran untuk melepaskan notis.

Katanya, walaupun nombor pendaftaran dilihat sebagai kesalahan kecil, namun ia memberi kesan yang besar sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

RAMANSYAH
RAMANSYAH

"Contoh, jika berlaku kemalangan langgar lari, orang awam tidak dapat mengecam nombor pendaftaran kenderaan terbabit jika ia menggunakan nombor fancy, begit

u juga dengan penguat kuasa.

"Disebabkan itu, JPJ sentiasa menekankan perkara ini untuk kebaikan pengguna jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 6:06 AM