ARIF Aiman tiada dalam senarai pemain untuk latihan pusat skuad muda negara ke Sukan Sea Kemboja, bulan depan. FOTO ARKIB NSTP
ARIF Aiman tiada dalam senarai pemain untuk latihan pusat skuad muda negara ke Sukan Sea Kemboja, bulan depan. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Permainan bola sepak ini bukan disebabkan seorang pemain, tetapi bermain secara berpasukan. Jadi kalau tak ada Arif Aiman pun bagi saya tak jadi masalah."

Demikian pandangan pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli yang mahu peminat bola sepak tempatan bertenang selepas sekali lagi skuad Bawah 23 Tahun (B-22) negara terpaksa melupakan khidmat pemain sayap negara, Arif Aiman Hanapi yang tidak disenaraikan dalam skuad ke Sukan Sea di Kemboja, bulan depan.

Menurut Pekan, persoalan ketiadaan nama bintang bola sepak tempatan itu seharusnya dijawab oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang lebih mengetahui mengenai status Arif Aiman, ketika badan induk itu sendiri menyasarkan untuk melangkah ke final pada temasya dwitahunan itu nanti.

Begitupun, Pekan mempunyai pandangan tersendiri mengenai Arif Aiman apabila baginya, ketiadaan pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak akan membawa apa-apa perbezaan kepada skuad kendalian E Elavarasan nanti.

Katanya secara peribadi, prestasi baik Arif Aiman ketika ini sebenarnya banyak dipengaruhi persekitaran di JDT, termasuk sokongan rakan sepasukan serta corak permainan skuad Harimau Selatan yang sesuai dengannya.

Namun, ujarnya, untuk pemain muda itu berdiri di atas kaki sendiri tanpa sokongan di JDT, beliau tidak melihat apa-apa yang istimewa pada Arif Aiman terutama apabila dia menyarung jersi skuad kebangsaan.

"Memang ada pemain yang jenis betul-betul bila ada dia, keputusan perlawanan boleh berubah dan dia bawa sesuatu yang istimewa.

"Tapi saya nak minta maaf, bagi saya itu tidak ada pada dia (Arif Aiman). Dia nampak hebat di JDT disebabkan persekitaran yang baik dan profesional terdapat di JDT.

"Menerusi bantuan rakan sepasukan yang hebat, fasiliti yang terbaik dan sokongan jurulatih membuatkan Arif Aiman nampak lain di JDT.

"Tapi kita boleh lihat apabila dia di skuad kebangsaan sebelum ini, dia kurang menyerlah.

"Jadi bagi saya, ketiadaan Arif Aiman dalam skuad Sukan Sea tidak perlu diperbesarkan kerana permainan bola sepak ini bukan sebab seorang pemain sahaja, tapi ia adalah kerjasama berpasukan," katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, FAM mengumumkan senarai 25 pemain dipanggil ke latihan pusat yang bakal diadakan bermula Rabu ini, dengan nama Arif Aiman tercicir lagi.

Begitupun, dia yang layak beraksi di temasya itu sudah dijangka akan diketepikan susulan kempen Sukan Sea yang berada di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), apabila sudah berulang kali kelabnya memaklumkan tidak akan melepaskan mana-mana pemain utama di luar jendela antarabangsa.

Begitupun, misi memburu 'ibu segala pingat' di Kemboja bulan depan dilihat tidak terganggu selepas tonggak tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal Mahadi turut dipanggil oleh Elavarasan.

Kehadiran Mukhairi pastinya menambah kekuatan skuad B-22 terutama di bahagian tengah bagi menggerakkan 'enjin' pasukan, sekali gus mencerahkan peluang untuk memenuhi sasaran layak ke final temasya itu.

Dalam perkembangan sama, Pekan beranggapan adalah tidak wajar kejayaan skuad Sukan Sea 2011 meraih pingat emas di Indonesia dijadikan rujukan kerana tempoh persiapan pasukan itu hingga mampu muncul juara sebenarnya jauh berbeza.

"Kita tak boleh jadikan pasukan Sukan Sea 2011 kendalian Datuk Ong Kim Swee dulu sama dengan kali ini. Dulu pasukan itu dibentuk sangat lama, dalam dua hingga tiga tahun dan mereka beraksi di Liga Slovakia dan sebagainya.

"Jadi keserasian antara pemain dan kesepaduan pemain menjadi teras kekuatan pasukan itu biarpun tiada nama besar dalam skuad itu.

"Tapi pasukan kali ini, berlatih agak suntuk dan tempoh singkat. Di sinilah kepakaran Ela (Elavarasan) dan pengalamannya diperlukan dalam membentuk skuad terbaik bagi menghadapi saingan Sukan Sea itu nanti," katanya.

Di Kemboja, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B yang dianggap kumpulan maut bersama Thailand, Vietnam, Singapura dan Laos, dengan dua pasukan terbaik akan melangkah ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 8:58 PM