ELAVARASAN menjawab soalan pada sidang media praperlawanan menentang Vietnam, hari ini. FOTO FB FAM
ELAVARASAN menjawab soalan pada sidang media praperlawanan menentang Vietnam, hari ini. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Cabaran getir bakal dilalui skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara apabila berdepan Vietnam pada aksi separuh akhir Kejuaraan AFF B-23 di Stadium Rayong, Thailand, petang esok.

Perkara itu diakui pengendali skuad negara, E Elavarasan yang menjangkakan aksi sengit bakal disajikan kedua-dua pasukan.

Begitupun, Elavarasan sudah merancang sesuatu bagi memastikan kemenangan mampu diraih, sekali gus mara ke pentas final buat pertama kalinya.

"Bagi saya di rantau Asia Tenggara, Vietnam adalah sebuah pasukan yang bagus. Pemain Vietnam berkualiti dan mereka sering memperoleh kejayaan dalam kejohanan disertai mereka," katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.

Sebelum ini, skuad Harimau Muda negara mencipta kejutan apabila menewaskan pemenang pingat emas Sukan Sea Kemboja, Mei lalu iaitu Indonesia pada aksi pertama Kumpulan B dengan kemenangan 2-1.

Pemain negara mengekalkan konsisten itu apabila melakar kemenangan kedua dengan menundukkan Timor Leste 3-1 untuk muncul juara kumpulan, malam tadi, sekali gus mara ke separuh akhir.

Dalam pada itu, Elavarasan mengakui kelemahan pasukan ketika ini hanyalah mengenai pengalaman kerana pasukan ini tidak pernah beraksi di peringkat kalah mati.

Justeru, halangan yang boleh menggagalkan usaha ke final adalah soal pengalaman yang mungkin menjadi titik perbezaan.

"Kelemahan kami adalah ini kali pertama kali layak ke separuh akhir selepas sekian lama tidak berjaya berbuat demikian. Itulah kelemahan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 5:37 PM