KELINCAHAN Arif Aiman tidak dapat disaksikan di Kemboja.
KELINCAHAN Arif Aiman tidak dapat disaksikan di Kemboja.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 22 (B-22) tahun negara sekali lagi terpaksa melupakan khidmat bintang bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi apabila namanya tidak disenaraikan dalam saingan Sukan Sea di Kemboja, bulan depan.

Arif Aiman, 20, yang layak beraksi di temasya itu sudah dijangka akan diketepikan susulan kempen Sukan Sea berada di luar kalendar Fifa sekaligus, kelibat pemain berprofil tinggi itu tidak dapat disaksikan di saingan itu.

Begitupun, misi memburu 'ibu segala pingat' di Kemboja bulan depan dilihat tidak terganggu selepas tonggak tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal Mahadi disenaraikan oleh pengendali pasukan, E Elavarasan.

Kehadiran Mukhairi pastinya menambah kekuatan skuad B-22 terutama di bahagian tengah bagi menggerakkan 'enjin' pasukan sekaligus mencerahkan peluang untuk memenuhi sasaran layak ke final temasya dwitahunan itu.

Malah, pengalaman luas Mukhairi dalam saingan Liga Super bersama Red Giants tidak boleh dinafikan lagi, selain dia turut menjadi watak penting kepada skuad senior khususnya pada saingan Piala AFF hujung tahun lalu.

Biarpun mungkin namanya tidak sehebat Arif Aiman Hanapi, namun sentuhan pemain kelahiran Sungai Lembing, Pahang itu sememangnya diharapkan Elavarasan bagi menambah variasi serangan buat pasukan negara.

Pada saingan Piala Merlion di Singapura bulan lalu, Mukhairi tidak disenaraikan dan menyedari terdapat kelemahan di bahagian tengah, khidmat pemain itu amat diperlukan untuk memberi keseimbangan kepada pasukan.

Selain Mukhairi, Elavarasan turut memanggil penjaga gol muda sedang meningkat naik, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman yang sebelum ini menyertai latihan pusat bersama skuad senior kebangsaan bulan lalu.

Aksi konsisten dan ketangkasan Sikh Izhan mengawal kubu Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super antara penyebab mengapa Elavarasan memerlukan kepakarannya di gawang gol.

Menerusi senarai 25 pemain diumumkan Elavarasan, tujuh pemain termasuk Mukhairi dari Selangor FC menjadi pembekal terbanyak buat skuad negara diikuti Terengganu FC dengan lima pemain, Johor Darul Ta'zim II (empat pemain), Kuala Lumpur City FC (empat pemain), Kedah Darul Aman FC (tiga pemain) dan Negeri Sembilan FC (dua pemain).

Kesemua pemain terbabit akan mula menjalani latihan pusat bermula esok sehingga Jumaat ini, sebelum pasukan diberi cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri dua hari.

Pemain kemudian akan melaporkan diri secara berperingkat untuk kem latihan fasa akhir bermula Isnin depan, bergantung kepada penglibatan mereka dalam perlawanan Liga Super bersama kelab masing-masing pada minggu berkenaan.

Skuad B-22 akan berlepas ke Kemboja pada 2 Mei ini dan membuka tirai saingan Kumpulan B bertemu Laos sehari kemudian, sebelum turun menentang Thailand pada 6 Mei, disusuli Vietnam (8 Mei) sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Singapura (11 Mei).

Jika pasukan negara berjaya melepasi peringkat kumpulan, mereka akan beraksi di pusingan separuh akhir pada 13 Mei dan aksi final serta penentuan pingat gangsa berlangsung tiga hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 8:56 AM