MUHAMMAD Azam Azmi Murad. FOTO Owee Ah Chun
MUHAMMAD Azam Azmi Murad. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Tahun ini saya dan rakan sepasukan sasar untuk menjadi juara Sukan Sea."

Itu nada keyakinan yang disuarakan tonggak pertahanan skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, Azam Azmi Murad mengenai peluang pasukan kebangsaan untuk menggenggam 'ibu segala pingat' dalam temasya Sukan Sea di Kemboja, Mei ini.

Jelas pemain Terengganu FC itu, keyakinan itu bukanlah 'cakap kosong' di mana pada penampilan pertamanya di saingan serantau itu tahun lalu menyaksikan skuad Harimau Muda negara kendalian Brad Maloney berjaya melangkah ke separuh akhir.

"Bagi saya ini tahun terbaik untuk kami nak menang pingat emas di Sukan Sea. Ini tahun kedua saya bersama pasukan ini, tahun lalu pun kami berjaya layak ke separuh akhir," katanya.

Untuk rekod, pada temasya di Vietnam tahun lalu itu, Malaysia berjaya mara ke separuh akhir selepas muncul naib juara Kumpulan B di belakang Thailand.

Begitupun, nasib tidak menyebelahi pasukan negara apabila tewas tipis 0-1 di tangan Vietnam sebelum sekali lagi dikecewakan dalam penentuan pingat gangsa apabila tumbang menerusi penentuan penalti 3-4 selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar.

Dalam perkembangan sama, Azam Azmi akui tidak banyak perbezaan ketara corak latihan yang dikendalikan oleh pengendali pasukan, E Elavarasan dengan ketua jurulatih pasukan senior, Kim Pan-gon.

Dia yang pernah mendapat tunjuk ajar Pan-gon dalam saingan Piala AFF hujung tahun lalu, tidak mempunyai masalah untuk segera memahami gaya permainan yang dimahukan Elavarasan.

"Bagi saya sama sahaja sebab skuad utama dan skuad B-22 taktikal sama sahaja kerana jurulatih juga dari barisan kejurulatihan skuad utama jadi dari segi taktikal dan latihan sama sahaja", katanya.

Anak buah Elavarasan dijadual menyertai Piala Merlion 2023 di Singapura mulai esok sebagai medan persiapan terakhir sebelum ke Sukan Sea nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 12:43 PM