MUHAMMAD Aliff menaiki van jenazah yang membawanya abangnya selepas proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Alor Gajah. FOTO Nuraliawati Sabri
MUHAMMAD Aliff menaiki van jenazah yang membawanya abangnya selepas proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Alor Gajah. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Alor Gajah: "Kami sekeluarga masih terkejut dengan pemergiannya kerana dalam tempoh tidak sampai setahun saya kehilangan dua abang," kata Muhammad Aliff Iman Hasrin, 15.

Dia adalah adik kepada mangsa kemalangan maut di Jalan Lendu, Masjid Tanah, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Hasraf Amin Hasrin, 23, yang juga pemandu Perodua Myvi dan bapa saudara Mohd Firdaus Yusof, 38, maut selepas kenderaan dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu merempuh sebatang pokok.

Seorang lagi saudara mereka, Azizul Hamis @ Jainy, 38, yang juga penumpang bahagian belakang kini sedang dirawat di Zon Merah Hospital Alor Gajah akibat kecederaan parah.

Menurut Muhammad Aliff Iman, tiada kelainan ditunjukkan abangnya yang juga anak ketiga daripada empat beradik berkenaan cuma ada meninggalkan duit kepada ibu untuk membeli baju raya adiknya itu.

"Ibu masih sukar untuk terima berita ini kerana abang sulung baru meninggal pada Ogos lalu akibat serangan jantung dan hari ini 'baby' pula.

"Dua tiga hari ini dia kerap belanja kami, malah burger berharga RM8 pun dia bayarkan. Malah, dia turut beri ibu duit untuk belikan baju raya saya," katanya ketika menuntut jenazah abangnya di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, hari ini.

Menurutnya, walaupun sukar, namun dia reda dengan pemergian abangnya yang dipanggil 'baby' dalam kalangan ahli keluarga mereka.

Sementara itu, bakal tunang Muhammad Hasraf, Zulaikha Hanim Khairul Samri, 22, berkata, siang sebelum kejadian mereka berdua sempat keluar bersama-sama untuk membeli barangan keperluan raya dan arwah ada membeli sepasang kasut baharu.

"Selepas membeli-belah dan berbuka puasa dia kemudian menghantar semula saya pulang ke rumah di Nilai, Negeri Sembilan. Bagaimanapun kira-kira jam 11 malam dia memberi tahu ingin keluar ke bazar.

"Ketika keluar dia tidak mematikan panggilan telefon sebaliknya membiarkan begitu saja sehinggalah tiba-tiba saya terdengar bapa saudaranya menjerit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 5:02 PM