SHAMSUL menerima rawatan di HSA akibat strok otak menerima kunjungan kenalan.
SHAMSUL menerima rawatan di HSA akibat strok otak menerima kunjungan kenalan.
Mary Victoria Dass


JOHOR BAHRU: “Dia sanggup tidak berehat dan tidak mengenal penat dalam soal membantu komuniti, tetapi kini dia sendiri perlu berehat sepanjang hayat apabila doktor menyatakannya mungkin terlantar seumur hidup akibat strok otak,” kata Zahizan Hasrin, 42.

Zahizan berkata, dia tidak sangka suaminya, Shamsul Kamal Jamaludin, 45, yang bekerja sendiri dan aktif sebagai sukarelawan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lebih lima tahun lalu kini terlantar.

Dia yang juga guru Sekolah Menengah Medini dekat sini berkata, suaminya gemar membantu pelbagai lapisan masyarakat dan bersedia membantu tanpa mengira waktu dan sanggup menolak tepi urusan perniagaan dalam soal berkenaan.

Menurutnya yang tinggal di Taman Pulai Indah, suaminya juga pernah memperjuangkan beberapa isu dihadapi komuniti setempat dan sentiasa bersikap peramah.

Katanya, antara golongan yang dibantu suaminya termasuk pesakit kronik, golongan orang kurang upaya (OKU), daif dan warga emas.

“Pada masa sama dia juga tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa serta sentiasa mengambil berat berkaitan kami,” katanya.

  GAMBAR kenangan Shamsul  bersama isteri dan anaknya.
GAMBAR kenangan Shamsul bersama isteri dan anaknya.

Zahizan berkata, suaminya memiliki empat cahaya mata termasuk seorang zuriat hasil perkongsian hidup bersamanya selain tiga anak hasil perkahwinan terdahulu di Pulau Pinang.

“Suami mula mengalami strok otak sejak 9 Oktober lalu.

“Kini dia masih di Wad Dahlia, Hospital Sultanah Aminah (HSA) walaupun doktor membenarkan penjagaan di rumah kerana sudah tamat rawatan, tetapi kami tidak dapat menyediakan kemudahan diperlukan.

“Dia perlu bergantung kepada mesin bantuan pernafasan, mesin penyedut kahak dan tabung oksigen dengan anggaran kos bagi kemudahan berkenaan adalah RM58,950,” katanya.

Zahizan berkata, keluarganya tidak memiliki dana yang mencukupi bagi membeli kemudahan berkenaan.

“Saya berharap dapat memberi penjagaan kepadanya di rumah keluarga, tetapi buntu memikirkan kos pembelian kemudahan berkenaan,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan bagi membantu keluarga Shamsul menampung kos pembelian kemudahan diperlukan menerusi akaun Maybank Zahizan Hasrin, 151212108172.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 7:56 AM