HASRIN dan Habibah bersama lapan anaknya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Bembam, Pasir Mas.
HASRIN dan Habibah bersama lapan anaknya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Bembam, Pasir Mas.
Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Biarpun menghidap kanser tiroid, seorang remaja berusia 17 tahun tidak pernah menjadikan penyakit itu halangan untuknya bekerja sambilan bagi membantu menyara keluarga.

Ketika rakan seusianya sibuk melakukan persiapan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Amir Rezdwan Hasrin perlu membahagikan masa antara pelajaran dan kerja mengemas hotel bajet, menjual nasi lemak dan mencuci kebun.

Dia terpaksa berhempas pulas kerana ibunya, Habibah Jaafar, 45, menghidap barah payudara yang memerlukan pembedahan segera, manakala bapanya Hasrin Rosdi, 49, menghidap bengkak hati.

Muhammad Amir berkata, tanggungjawab membantu keluarga tergalas di bahunya sebagai anak sulung daripada lapan beradik, meskipun dirinya sendiri memerlukan perhatian sama ada kesihatan atau pelajaran.

“Dalam sebulan, saya mengaku memang banyak kali tidak ke sekolah kerana terpaksa mengambil upah bekerja ataupun badan tidak sihat.

“Saya sering demam kesan akibat penyakit, selain mata juga semakin kabur. Bukan saya sengaja ponteng, saya sedar ilmu penting untuk masa depan.

“Namun tanggungjawab ke atas keluarga juga perlu kerana jika tidak bantu mereka, siapa lagi? Mereka berdua juga tidak sihat dan masing-masing menghidap penyakit bahaya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Bemban.

Menurutnya, upah bagi setiap pekerjaan dilakukan biasanya diberi kepada ibu bapanya, selain digunakan untuk keperluan sendiri terutama bagi membeli barangan persekolahan.

Katanya, selain itu, mereka juga menerima bantuan RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang digunakan untuk membayar sewa rumah RM150 dan keperluan perubatan ibu bapanya.

“Saya reda dengan nasib yang menimpa kami sekeluarga dan akan cuba sedaya upaya melakukan yang terbaik dalam SPM untuk mengubah nasib kami,” katanya yang pernah menjalani pembedahan tiroid ketika berusia 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 10:52 AM