IMAM Instant Ustazah Scammer bukan sekadar hiburan, bawa pelbagai mesej positif, pengajaran kepada penonton.
IMAM Instant Ustazah Scammer bukan sekadar hiburan, bawa pelbagai mesej positif, pengajaran kepada penonton.
Syafil Syazwan Jefri

Drama bersiri terbaharu, Imam Instant Ustazah Scammer yang ditayangkan bermula 5 Mac lalu nampaknya mula mencuri tumpuan ramai penonton dan

Dengan jalan cerita yang lain daripada kebiasaan, drama bersiri arahan Hadith Omar ini mengisahkan mengenai Effa lakonan Mira Filzah yang sanggup menyamar sebagai ustazah dan menipu mengenai latar belakangnya.

Pertembungannya dengan Imam Asyraf lakonan Hun Haqeem mencetuskan satu konflik apabila Imam yang juga pempengaruh popular itu mula mengesyaki, ada sesuatu yang tidak kena.

Hadith berkongsi mengenai cabaran dan pengalaman 45 hari menjalani penggambaran untuk drama bersiri itu.

"Cabaran terbesar adalah penghasilan skrip drama ini berjalan seiring dengan proses penggambaran. Jadi, kami sendiri pun tak tahu apa yang boleh dijangkakan.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik mengikut mood dan jiwa setiap karakter. Banyak yang tak disangka berlaku dalam drama ini.

"Selain itu, lokasi penggambarannya juga agak mencabar kerana kami menjalankan penggambaran di luar, di samping cuaca panas," katanya.

Menurut Hadith, ini adalah gandingan pertama Mira dan Hun di dalam drama.

HADITH Omar
HADITH Omar

"Ini adalah kemunculan semula buat Mira selepas mendirikan rumah tangga dan digandingkan pula dengan Hun buat kali pertama di dalam drama. Jadi, boleh saya katakan, ia gandingan yang menarik dan 'comel'," katanya.

Menurut Hadith, di samping berhibur, drama ini juga mengusung pelbagai mesej positif dan pengajaran.

"Boleh saya katakan, drama Imam Instant Ustazah Scammer ini bercorak drama ringan, namun padat dengan pengajaran yang mana, kami cuba mengajar penonton mengenai ilmu agama, menerusi komedi.

"Kami selitkan pelbagai pengajaran antaranya, berkaitan bulan Ramadan, amalan dalam bulan Ramadan dan apakah amalan-amalan yang patut dilakukan sepanjang bulan mulia ini.

"Selain itu, kami juga menyuntik semangat kepada penonton untuk meraikan Ramadan dan Aidilfitri itu sendiri, memandangkan semangat itu kian pudar ditelan waktu," katanya.

Bagi Hun, dia menggunakan pengalamannya 'bekerja' di surau sebagai rujukan.

HUN Haqeem
HUN Haqeem

"Saya melakukan pelbagai pendekatan dalam menjayakan watak Imam Asyraf antaranya, merujuk watak-watak yang ada, kemudian, saya satukan dalam diri Iman Asyraf.

"Selain itu, saya juga merujuk kepada orang-orang tua sewaktu saya ke surau. Mungkin ramai tak tahu, saya pernah menjadi 'budak teh o' di surau dalam bulan Ramadan.

"Saya pernah bekerjasama dengan Mira dalam video muzik salah satu lagi Datuk Seri Siti Nurhaliza, jadi, untuk drama kali ini, keserasiannya sudah ada," katanya.

Sementara itu, Mira pula bersyukur kerana mendapat bantuan orang-orang di sekelilingnya untuk menjayakan watak Effa.

"Rujukan utama saya dalam menjayakan watak ini adalah, filem Thailand berjudul The Con Artists. Untuk watak ini juga, saya mendapat bantuan semua orang di sekeliling saya, yang mana, membantu untuk mewujudkan elemen kelakar dalam watak itu.

"Alhamdulillah, dapat juga saya kembali beraksi dalam dunia lakonan dan memulakan semula langkah menerusi karya ringan, relaks dan bergenre komedi sebegini. Saya harap, semua penonton akan suka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 6:18 AM