PERSEDIAAN hari raya juga harus sederhana.
PERSEDIAAN hari raya juga harus sederhana.
ELAKKAN membazir ketika membeli juadah.
ELAKKAN membazir ketika membeli juadah.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Ketibaan Ramadan dinanti setiap umat Islam apatah lagi bulan penuh keberkatan ini memberi kita peluang meningkatkan amal ibadat dan merebut pahala berlipat ganda.

Dalam keterujaan me­nyambut bulan mulia ini, ramai yang gagal menguruskan kewangan dengan berbelanja mengikut nafsu sama ada ketika membeli juadah berbuka mahu pun persediaan menyambut Aidilfitri.

Bagi guru tuisyen Muhamad Huzaimi Abdul Ghafar, 30, sememang­nya realiti kehidupan kini agak mencabar tambahan pula baginya yang tinggal di Lembah Klang, justeru, pentingnya berjimat dalam perbelanjaan harian terutama ketika menyambut Ramadan dan Syawal.

Katanya, jika tahun sebelum ini dia dan isteri menempuh Ramadan berdua, tapi tahun ini agak berlainan kerana kehadiran cahaya mata pertama dan pasti perbelanjaan bertambah dari segi persiapan menjelang hari raya dan kos sara hidup.

“Mungkin tahun lepas boleh berbuka di luar kerana kurang tanggungan tapi kali ini kami akan membeli makan di bazar Ramadan dan berbuka di rumah.

“Selain itu, biarpun saya dan isteri bekerja, kami juga membuat beberapa kerja sampi­ngan lain demi menambah pendapatan bagi persiapan menjelang musim perayaan nanti.

Bagi peniaga, Mohd Hafiz Zawawi, 32, Ramadan tahun ini disambut secara sederhana seperti tahun sebelum ini dan dia gemar menyusun perbelanjaan sejak awal untuk mengelak pembaziran.

“Saya beli awal bahan asas makanan untuk memudahkan isteri memasak hidangan bersahur dan berbuka, itu pun hanya masakan mudah dan ringkas.

“Persiapan Aidilfitri pula selalunya saya lebihkan untuk anak dan isteri, saya pula memakai baju Melayu sedia ada, kasut dan seluar pula memang saya beli di kedai ‘bundle’. Perbelanjaan lebih saya peruntukkan untuk hidangan bersama keluarga, sanak saudara dan tetamu yang berkunjung sepanjang Syawal,” katanya yang menetap di Bangi.

REBUT PAHALA BERGANDA

Bagi bapa kepada seorang cahaya mata dari Tanjung Malim, Perak, Mohammad Azmir Mohammad Zamri, 33, tumpuannya pada Ramadan kali ini untuk melakukan ibadat wajib dengan lebih sempurna kerana rahmat dan pahala yang berlipat ganda.

Selain itu katanya, dia dan isteri mengambil pendekatan tidak terlalu boros berbelanja dengan memperbanyakkan memasak sendiri di rumah atau membeli juadah berbuka yang diperlukan saja.

Bagi pengusaha restoran dari Klang, Nik Badrul Hisham Nik Mustapha , 34, seperti kelaziman dilakukannya dan keluarga setiap tahun, Ramadan kali ini mereka tidak lupa mengadakan kenduri di masjid dan jamuan berbuka puasa bersama anak yatim.

Selain itu, acara moreh bersama komuniti setempat turut dinantikan kerana ia platform terbaik untuknya mengenali jiran dan mendapat kenalan baru.

“Tahun ini, saya sekeluarga membuat persiapan ala kadar kerana ibu saya kurang sihat. Saya dan keluarga tidak cerewet soal makanan untuk berbuka, sekadar lauk ringkas dan bagi sajian sahur pula roti, telur dan air panas sudah memadai.

“Saya juga tidak gemar berbuka di luar, bukan sahaja harganya agak mahal, malah saya tidak selesa beratur mengambil makanan di kaunter bufet. Kami sekeluarga juga akan bergilir-gilir membuat ‘potluck’ berbuka puasa bersama yang bukan saja menyeronok­kan malah menjimatkan,” katanya.

Bagi peniaga dari Ipoh, Perak, Ahmad Zulkifli Zainal, 31, oleh kerana dia masih bujang, maka tidak menjadi kesukarannya berbuka di masjid dan surau berhampiran terutama apabila bekerja di luar kawasan.

Selain itu katanya, menjelang Ramadan dia menyusun jadual kerja­nya sendiri agar memudahkannya beribadat dan banyak urusan perniagaan dilakukan pada waktu pagi atau malam selepas solat terawih.

“Untuk Aidilfitri saya biasanya memakai baju Melayu sedia ada yang hanya dipakai sekali sekala. Tidak perlu membazir kerana itu yang dituntut dalam agama,” katanya.

Mohd Fadhlan Zulkefli, 30, dari Sungai Petani, Kedah, berkata, kebiasaannya juadah berbuka puasa dimasak sendiri ibunya dan dia hanya membeli sedikit kuih muih, kadang kala jika ada kelapangan dia berbuka puasa dan solat tarawih di masjid.

“Sambutan Aidilfitri pula biasanya sederhana saja, cukuplah sepasang baju Melayu untuk diri sendiri dan kedua ibu bapa. Kuih raya pula ibu buat satu atau dua jenis dan selebihnya dibeli,” katanya.

Bagi jurutera mekanikal Muhamad Arif Fahmi Abdul Wahab, 31, sudah menjadi kebiasaan setiap tahun dia dan isteri mengambil cuti menyambut hari pertama puasa di kampung.

Untuk hidangan berbuka, mereka lebih banyak masak sendiri dan jika perlu membelinya, dipastikan tidak lebih RM15 untuk dua orang makan.

“Untuk persediaan raya pula, kami tidak beli kelengkapan baru kerana mahu berjimat dan lebih tumpukan pada kos balik kampung dan menziarah sanak saudara.

“Balik kampung dan ziarah menziarahi lebih bermakna daripada membeli kelengkapan baru seperti perabot dan langsir,” katanya.

Bagi pembantu penerbit, Mohd Adil Anwar Daud, 30, bulan puasa adalah masa terbaik untuk melatih diri berjimat cermat selain memastikan bersahur dan berbuka bersama keluarga setiap hari di rumah.

Katanya, dia hanya menetapkan hanya satu atau dua juadah ketika berbelanja di bazar Ramadan kerana kebiasaannya nafsu membeli makanan melebihi keperluan untuk berbuka puasa.

“Nasihat saya kepada rakan lain supaya belajar berjimat cermat, menyesuaikan perbelanjaan dan bukan berbelanja tanpa had di sepanjang Ramadan dan Aidilfitri lebih-lebih lagi ketika keadaan ekonomi kini kurang memuaskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 10:31 AM